Selangorkini
SELANGOR

SKMM Siasat Yasin Berkenaan Temubual Bersama Radio Free Malaysia

SKMM Siasat Yasin 01

KUALA LUMPUR 1 APRIL: Penyanyi popular yang juga Duta Angkatan Muda Keadilan (AMK), Yasin Sulaiman dipanggil ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung temubualnya bersama Radio Free Malaysia (RFM) di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur hari ini.

Yasin dirakam kenyataannya oleh Pegawai SKMM, Iqbal Ikhwandi Mat Zin bagi membantu siasatan berkenaan RFM yang didakwa tidak mempunyai lesen dan permit daripada SKMM.

Turut menemani beliau, Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Samsul ketika ditemui pemberita menyatakan kehadiran Yasin hanya sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap stesen radio online berkenaan.

Pada 25 Mac lalu, RFM menemubual Yasin berkenaan lagu Reformasi yang dijadikan lagu kempen AMK diseluruh negara dan juga harapan beliau mengenai kebangkitan suara rakyat Malaysia.

Yasin berkata, beliau ditemuramah secara telefon oleh radio yang berpangkalan di London, United Kingdom itu dan tidak mengesyaki radio berkenaan menghadapi masalah seperti yang didakwa SKMM.

“Takda apa sangat pun, saya tak tahu radio ini ada masalah dengan kerajaan ke, empat hari lepas, mereka menemubual saya secara telefon dan bertanyakan mengenai lagu Reformasi dan harapan saya tentang Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Yasin dan Samsul berpendapat bahawa kebebasan media mesti diberikan kepada semua pengamal media bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan bukannya menyekatnya dengan pelbagai akta dan undang-undang.

Ketika dilancarkan beberapa minggu lalu, RFM turut menebual beberapa tokoh politik terkenal seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai fitnah yang dikenakan terhadap beliau.


Pengarang :