NASIONAL

Tiada Suami-Isteri Penjawat Awam Terpisah Jauh Di Bawah PR

PR

PUTRAJAYA 27 APRIL : Pakatan Rakyat(PR) akan melaksanakan konsep Al Mawaddah, iaitu pertukaran penempatan kakitangan kerajaan khususnya di kalangan guru-guru, sekiranya menerima mandat rakyat menerajui Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tidak ada lagi suami isteri penjawat awam yang terpaksa berpisah jauh, yang merencatkan pembinaan keluarga mereka.

“Kita akan satukan suami isteri di bawah konsep Mawaddah iaitu mendekatkan antara satu sama lain.

“Kalau Datuk Seri Najib mahu tidur dengan Datin Seri Rosmah, mengapa pula rakyat jelata tidak diberi pilihan untuk bersama ahli keluarga mereka di bawah satu bumbung dengan penempatan kerja yang dekat antara satu sama lain,” ucapnya di hadapan lebih 10, 000 hadirin dalam satu ceramah malam tadi.

Datuk Husam Musa

Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga menjanjikan kebebasan bersuara kepada penjawat awam tanpa melibatkan sebarang campur tangan politik, sepertimana yang dipratikkan oleh Umno-BN ketika ini.

Begitu juga dengan kebebasan untuk berdakwah yang akan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak asalkan konteks yang diketengahkan adalah selari dengan ajaran Al Quran dan Sunnah.

“Sekarang ini, kalau Ustaz Azhar Idrus hendak bagi ceramah di Masjid Mizan (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) tidak dibenarkan tetapi konsert K-Pop boleh pula diadakan di hadapan masjid.

“Jadi kita akan tukar ini, dan akan beri permit serta tidak akan sewenang-wenangnya pecat jawatankuasa masjid,” jelas calon PAS bagi Parlimen Putrajaya ini.


Pengarang :