Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Zul Noordin Bukti Umno-BN Selangor Bankrap Calon

ccsb-ads

Khalid Samad Zulkifli Nordin 01
KLANG, 17 APRIL : Meletakkan Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin mencabar Khalid Samad di Parlimen Shah Alam membuktikan Umno-BN bankrap calon.

Penyandang DUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, Khalid akan mendapat laluan mudah mempertahan kerusi dimenangi pada pilihan raya lalu kerana umum mengetahui Zulkifli bukan pemimpin yang boleh diharapkan bagi membela nasib rakyat.

“Ini membuktikan Umno-BN bankrap. Tiada calon lain. Calon yang lompat macam katak diambil. Ini standard Umno-BN.

“Khalid Samad tak perlu ceramah atau kempen. Jangan takut, boleh menang terus. Orang Melayu, India dan Cina di Shah Alam tak akan sokong Zulkifli Nordin,” katanya dalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) di sini malam tadi yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Zulkifli bertanding atas tiket PKR di Parlimen Kulim Bandar Baharu dan menang dengan majoriti 5,583 undi menewaskan calon Umno-BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Namun seleps itu bertindak keluar dari PKR dan menjadi anggota bebas serta mesra Umno-BN.

Dr Xavier menambah, Umno-BN juga menghadapi masalah di peringkat DUN apabila hanya menyenaraikan empat calon lama dengan selebihnya muka baru.

Menurutnya, kenyataan itu terbukti apabila Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakui segala kesilapan dilakukan Umno-BN dalam mentadbir negara lebih 56 tahun menerusi risalah yang dihantar ke rumah pengundi dengan kata-kata ‘Belajar daripada kesilapan’.

Dr Xavier turut mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 diyakini sebagai paling kotor akan dijalankan di negara ini..

Katanya, perubahan besar yang ingin dibawa Pakatan Rakyat(PR) ialah politik terbuka dan adil yang dikuatkan dengan fakta yang betul untuk dibincangkan serta dibicarakan antara satu sama lain.

Namun, pemimpin Umno-BN sukar menerima perubahan apabila menutup ruang media massa kepada PR biarpun mendakwa negara memiliki semua kemudahan dengan kemajuan membanggakan.

“Takut sungguh Najib dan Umno-BN. Ini masalah Umno-BN sekarang. Kita minta debat, dia bagi video lucah,” katanya.


Pengarang :