NASIONAL

AMK Minta SPR Jawab 10 Soalan

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggariskan 10 persoalan yang perlu dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai syarat bagi sayap parti itu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang  berlangsung pada 5 Mei lalu.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, antara persoalan yang perlu dijelaskan SPR, isu daftar pemilih yang gagal dibersihkan dan isu penggunaan dakwat kekal yang boleh dihilangkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

“Secara faktanya, menurut laporan Akhbar Focus Malaysia keluaran minggu ke 23/2013, dilaporkan pengakuan pengerusi SPR sendiri bahawa terdapat 42,000 nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih terkini.

“Dikebanyakkan negara, keseluruhan keputusan pilihan raya akan diisytiharkan tidak sah sekiranya daftar pemilih itu tidak dibersihkan,” kata Shamsul dalam ucapan dasarnya di Kongres AMK dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Isu lain yang perlu dijelaskan SPR, laporan ejen-ejen pilihan raya yang tidak dibekalkan borang 14, dakwaan bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi, terdapat peti undi dibawa masuk di saat akhir, dakwaan terdapat pengundi diberikan kertas undi tidak dicop dan nombor siri direkodkan.

Shamsul turut meminta SPR memberikan penjelasan berhubung isu dakwaan kertas undi pengundi luar negara yang mempunyai kesan bertanda, liputan yang adil dari media elektronik yang dibiayai pembayar cukai, isu keselamatan peti undi pengundi awal yang disimpan dalam lokap dan pembetulan lokaliti yang didakwa menyukarkan pengundi.

“(Pengerusi SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof perlu bertanggungjawab bukan hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Shamsul lagi.

“Sejumlah RM400 juta duit pembayar cukai digunakan untuk mengendalikan PRU-13, merupakan tertinggi dalam sejarah dan tentunya rakyat Malaysia menuntut kepada satu penjelasan yang mengesankan dan bukan penafian semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum itu, Kongres AMK dan Wanita yang dihadiri hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan jemputan khas itu dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sementara Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lepas pula akan dilangsungkan keesokkan hari di dewan sama.


Pengarang :