NASIONAL SELANGOR

Anwar Akan Dedah Senarai Syarikat Penerbangan Bawa Pengundi Asing

anwar taman ampang 1 mei 02

AMPANG, 1 MEI : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendedahkan senarai syarikat penerbangan yang didakwa digunakan Umno-BN untuk membawa masuk warga asing bagi mengundi  semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad ini.

Menurut Anwar, beliau memiliki segala dokumen yang diperlukan untuk membuktikan kepada rakyat tentang satu lagi penipuan Umno-BN berhubung perkara itu.

“Sehingga ke hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal memberi sebarang jawapan atas dakwaan yang dibuat. Saya memiliki segala dokumen syarikat penerbangan yang terlibat dan akan mendedahkannya semasa sidang media esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri program Jelajah Merdeka Rakyat di Taman Dagang, di sini pagi tadi. anwar taman ampang 1 mei 01

Hadir sama, calon PKR Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, calon PKR Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dan calon DAP DUN Teratai, Tiew Way Keng.

Dalam pada itu, Anwar turut menyelar tindakan Umno-BN yang sering menggunapakai taktik kotor untuk memastikan pentadbiran negara terus berada di bawah cengkaman mereka.

Anwar berkata, pimpinan Umno-BN sepatutnya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan dan bersedia menerima sebarang keputusan yang telah ditetapkan.

“Sudah-sudahlah dengan penipuan ini dan biar rakyat putuskan semasa 5 Mei nanti. Datuk Seri Najib Razak tidak perlu takut kerana kalau Umno-BN kalah sekalipun, beliau tetap ada jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

“Setiap pengundi harus keluar mengundi dan buatlah pilihan yang tepat. Kita harus usaha untuk pastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) bagi mengelakkan negara daripada terus ditadbir oleh pemimpin tidak telus seperti Umno-BN,” katanya lagi.


Pengarang :