NASIONAL SELANGOR

Bukit Botak : Jangan Terpedaya Tawaran Umno-BN

Zaidy Abdul Talib Majlis Perbandaran Selayang 01

SELAYANG, 3 MEI : Penduduk Bukit Botak dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran Umno-BN yang berjanji untuk menurunkan harga kediaman itu daripada RM90,000 kepada RM70,000 sekiranya berjaya merampas Selangor dalam pilihan raya nanti.

Calon PAS DUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib menyifatkan ia adalah satu lagi siri janji pilihan raya Umno-BN yang diyakini tidak akan dikotakan kepada rakyat.

“Kita kecewa dengan Umno-BN yang memainkan penduduk Bukit Botak dengan berjanji untuk menurunkan harga kediaman yang siap dibina sedangkan semua tahu projek itu disiapkan Pakatan Rakyat (PR) setelah dibiarkan terbengkalai berpuluh tahun lamanya.

“Saya minta rakyat jangan sekali lagi terpedaya dengan janji sebegini. Saya mewakili PR merasa kecewa dengan tindakan Umno-BN untuk memenangi pilihan raya melalui cara ini,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu siri jelajah kempennya berjanji untuk menurunkan harga rumah projek Bukit Botak di Selayang sehingga RM 70,000 sekiranya BN diberi mandat menerajui Kerajaan Negeri.

Tawaran itu dibuat sebagai aku janji manifesto BN Selangor semasa beliau mengadakan program turun padang di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini.


Pengarang :