NASIONAL

Deklarasi Putrajaya Angkat Taraf Hidup Penjawat Awam

HUSAM_anwar 01

PUTRAJAYA 02 MEI : Pembayaran gaji berasaskan 52 minggu setahun untuk penjawat awam berbanding 48 minggu yang dipraktikan sekarang, adalah antara perubahan yang akan dibawa Pakatan Rakyat sekiranya diberi mandat mentadbir Putrajaya.

Langkah itu adalah antara 13 cadangan Deklarasi Putrajaya yang dilancarkan semalam oleh calon parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam disamping menjaga kebajikan mereka secara menyeluruh.

Menurut Husam, deklarasi tersebut dibentuk dengan mengambil respon dari penjawat awam menerusi laman sosial.

Cadangan pembayaran gaji 52 minggu itu diutarakan oleh bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Nordin Abdul Hamid.

“Dalam Deklarasi Putrajaya ini, 13 perkara tersebut meliputi membina potensi penjawat awam, sebagai contoh gaji penuh semasa cuti belajar.

?Dalam feedback Facebook didapati sesetengah penjawat awam tidak dibenarkan mengambil PHD kerana ketua jawatan tidak mempunyai PHD,? katanya.

Beliau berkata hampir 7,000 keluarga di Putrajaya menerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia, menunjukkan ramai penjawat awam hidup dibawah paras selesa, katanya.

Sementara itu, hampir 4,000 penjawat awam belum berkeluarga turut menerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia, yang juga menunjukkan golongan tersebut juga memerlukan talian hayat untuk hidup.

“Kita menganggap penjawat awam menikmatan kehidupan yang baik tapi sebahagian dari mereka diparas kemiskinan.”

Turut dimuatkan adalah pinjaman perumahan tanpa faedah, pendidikan kelas Fardhu Ain percuma di sekolah kebangsaan, pencen pilihan, serta penyerapan kakitangan awam kontrak, sementara dan singkat menjadi khidmat tetap.

Tawaran lain ialah pertukaran dan penempatan penjawat awam berteraskan konsep mesra keluarga, dan pengecualian cukai pendapatan bagi penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

Bakal dinikmati oleh penjawat awam Gred 40 dan ke bawah adalah kajian menaikkan imbuhan tetap perumahan dari jumlah minimum
RM 180 sebulan kepada jumlah yang munasabah.

Turut dicadangkan penyelarasan gaji kakitangan penjara ke paras gaji polis dan elaun sara hidup bagi penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan di Putrajaya tidak akan dipotong.

Perlindungan insuran juga ditawarkan kepada badan penguatkuasaan undang-undang.


Pengarang :