Selangorkini
Uncategorized

Dr Halimah : Serahkan Dasar Pendidikan Kepada Pakar, Jangan Campur Politik

hari guru halimah 16 mei 01

KLANG 16 MEI : Exco Pendidikan, Pendidikan tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali mahu Menteri Pelajaran dan Pendidikan yang baru tidak mencampuri dasar pendidikan negara dengan agenda politik mana-mana parti.

Katanya, Menteri seharusnya membenarkan dasar pendidikan digubal oleh pakar-pakar pendidikan tanpa sebarang campur tangan parti politik demi memastikan negara dapat melahirkan pelajar cemerlang.

“Mereka juga harus membenarkan Jabatan Pelajaran (berfungsi) sebagai perlaksana dasar baru. Biar mereka buat kerja mereka, jangan keluarkan surat-surat arahan yang menekan pihak sekolah dan jabatan.

“Begitu juga dengan Institusi Pengajian Tinggi, jangan ganggu profesionalisme, intelektualisme pelajar dan pensyarah-pensyarah itu.

hari guru halimah 16 mei 02?Apa yang menteri lakukan sebelum ini sebenarnya hanya menyebabkan pelajar kita jauh ketinggalan berbanding pelajar di negara maju yang lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kampung Jawa di sini.

Halimah menambah Kementerian Pelajaran juga harus memberhentikan larangan wakil rakyat ADUN Pakatan Rakyat daripada memasuki sekolah kebangsaan.

“Kami bukan mahu berjumpa pengundi tetapi kami mahu memahami masalah guru dan pelajar supaya kami dapat membantu meningkat taraf pembelajaran atau kemudahan yang mereka perlukan.

?Jika di negara lain, parti yang memerintah dan pembangkang bekerjasama membangunkan masyarakat,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sebagai Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi 1 dan manakala Datuk Seri Idris Jusoh dilantik Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi 2.

Manakala Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan masing-masing dilantik Timbalan Menteri.


Pengarang :