SELANGOR

Masalah Pembangunan Bukit Gasing Fokus Rajiv

rajiv bukit gasing tony pua 01

PETALING JAYA 18 MEI : Sebagai ADUN baru, Rajiv Rishyakaran akan menumpukan kepada penyelesaian isu-isu pembangunan di kawasan Dewan Negeri Selangor (DNS) Bukit Gasing yang terletak di tengah-tengah bandaraya Petaling Jaya.

Oleh kerana bandaraya itu pesat membangun, Rajiv berkata aspek dan kesan pembangunan merupakan isu sensitif yang perlu ditangani dengan teliti demi kepentingan umum.

“Seperti program pembangunan semula kawasan industri kepada pembangunan komersial di Seksyen 13 (Petaling Jaya), kita risau dengan impak trafik di kawasan tersebut.

“Untuk itu, kita telahpun mulakan, dari semasa ke semasa sesi dialog dan perbincangan dengan wakil pihak yang terlibat serta wakil penduduk bagi memberi penambahbaikan kepada program tersebut,” ujar Rajiv dalam satu sidang media.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez.

Selain itu, Rajiv juga akan terus memantau sebarang rancangan pembangunan di Seksyen 5, yang meliputi kawasan-kawasan cerun.rajiv bukit gasing tony pua 02

“Setakat semalam, kita telahpun mendapat jaminan daripada Datuk Bandar MBPJ sendiri bahawa tiada sebarang projek pembangunan yang dibenarkan di kawasan tersebut untuk tempoh akan datang,” tegas Rajiv.

Sebelum menjadi ADUN, Rajiv pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada tahun 2008 hingga 2013.

Dalam Pilihan Raya Umum lalu, beliau berjaya menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 15,842 undi.

Dalam perkembangan lain, rakyat setempat dialu-alukan untuk mengunjungi Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing yang terletak di Stadium Hoki MBPJ, Jalan Selangor di sini untuk mengajukan sebarang aduan.

Pusat tersebut akan beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 5 petang selain turut dibuka pada hari Rabu malam bermula jam 7.30 hingga 10 malam.

“Buat sementara waktu, penduduk dinasihatkan untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada kita bagi memastikan ada staf di pejabat kerana kita masih tidak mempunyai staf tetap,” jelas Rajiv.

Orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat di talian 03-7784 7490 mahupun melalui email di dapbukitgasing@gmail.com.


Pengarang :