NASIONAL

Mat Taib : Umno Tidak Pernah Buka Al-Quran Semasa Urus Parti

Mat Taib Umno Tidak Pernah Buka Al-Quran 01

HULU LANGAT 2 MEI: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendakwa Umno-BN tidak pernah membuka Al-Quran semasa menguruskan parti sepanjang beliau menjadi ahli dan pemimpin parti berkenaan.

Meskipun Umno-BN bertanggungjawab di dalam pembangunan serta pembinaan institusi masjid dan sekolah agama namun mereka tidak pernah melaksanakan tuntutan seperti yang diajar di dalam Al-Quran.

Lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib, tindakan ini berbeza dengan perjuangan PAS yang menggunakan sepenuhnya kreadibiliti ulama dan Ilmuan agama dalam memacu pentadbiran parti malah menjadikan Al-Quran sebagai panduan perjuangannya.

“Saya tengok masa saya dalam parti (Umno-BN) dari peringkat rendah hingga Malaysia, minta maaf tuan-tuan dan puan-puan Umno tidak pernah sekalipun membuka Al-Quran.

“Kalau ada Ketua Cawangan dan semua di sini pernah tak anda membuka Al-Quran, ikut ajaran Quran semasa mentadbir parti. Pernah tau tidak?” soalnya kepada penduduk Kampung Jawa.

Menurutnya, berbeza dengan Umno-BN, pimpinan PAS dipandu oleh golongan ulama sambil diseimbangkan oleh golongan profesional selain menjadikan Al-Quran sebagai panduan perjuangan.

Turut hadir sama, calon PAS yang juga penyandang Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan calon PAS DUN Dusun Tua, Razaly Hassan.

Tegas Mat Taib, Pakatan Rakyat bersedia untuk mentadbir negara berdasarkan keupayaan yang ditunjukkan sepanjang mentadbir Selangor.

Ini diikuti dengan pemilihan calon yang berkredibiliti berbanding Umno-BN meskipun mereka melaungkan ‘transformasi’.

“PR sudah bersedia dan mempunyai orang yang cukup untuk memerintah Putrajaya.

Dengan nada yakin, Mat Taib percaya Selangor akan terus kekal ditadbir Pakatan Rakyat dan mentadbir semula Negeri Perak selain mengharapkan kerajaan baru di Putrajaya.


Pengarang :