MB : Segerakan Penstrukturan Air Untuk Elak Gangguan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

MB : Segerakan Penstrukturan Air Untuk Elak Gangguan

SHAH ALAM, 20 MEI : Kerajaan Pusat digesa supaya mengutamakan usaha menyelesaikan penstrukturan semula industri air bagi membolehkan Kerajaan Negeri Selangor memulihkan perkhidmatan pembekalan air yang tidak terurus di bawah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenyataan Syabas yang mengakui bekalan air bersih tidak mencukupi mengesahkan kenyataan awal Kerajaan Negeri sebelum ini bahawa keutamaan perlu diberikan kepada bekalan air terawat bukan air mentah.

“Kekurangan bekalan air terawat adalah kerana kelemahan penyelenggaraan loji-loji rawatan air, keadaan paip air yang kurang memuaskan serta kegagalan Syabas mengadakan sistem logistik yang berkesan dalam menyalurkan air kepada pengguna.


“Ini ditambah dengan kegagalan Syabas menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada 15 peratus pada 2012 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian perswastaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kenyataan ini sebagai respon makluman Syabas yang menyatakan sejumlah 13,500 pengguna di Gombak dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, termasuk tekanan rendah, ekoran penurunan paras air di kolam utama syarikat itu sejak kelmarin.

Syarikat konsesi itu menyebut kawasan yang terlibat di Gombak adalah Lembah Jaya Utara, Desa Lembah Permai, Kampung Muhibbah, Kampung Tasek Permai, Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasik Tambahan, Taman Sri Baru dan Taman Dagang Jaya.

Di Kuala Lumpur pula Bandar Seri Permaisuri, Taman Shamelin, Jalan Ikan Emas dan Jalan Yaakob Latif manakala kawasan lain termasuk rumah pangsa lima tingkat di Desa Pandan, Taman Dagang dan Taman Nirwanasa Maju.

Syabas menyatakan gangguan ini berlaku disebabkan pengurangan pengoperasian di Rumah Pam Wangsa Maju sehingga menyebabkan penurunan paras yang kritikal di kolam utama Syabas sejak semalam.

Tambah Abdul Khalid, ia juga merupakan sebab yang sama mengapa projek mega Langat 2 bukanlah penyelesaian kepada masalah air.

Sebaliknya, tegas beliau penyelesaian yang terbaik adalah dengan memastikan operator air cekap dan berkesan.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION