NASIONAL

Memorandum Minta Singapura Beri Peluang Kedua Kepada 21 Rakyat Malaysia

DSC_0383

KUALA LUMPUR 23 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menyerahkan memorandum kepada kerajaan Singapura berhubung kes penahanan 21 rakyat Malaysia atas kesalahan mengadakan tunjuk perasaan menetntang penipuan terhadap Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Rakyat(PR) berharap kerajaan Singapura memberikan kerjasama dalam perkara itu dengan memikirkan nasib dan masa depan mereka.

“Mereka hanya mengharapkan pilihan raya yang adil di negara ini. Kita harap kerajaan Singapura mengambil kira peluang mereka untuk bekerja di negara itu.

“Tanpa permit untuk masuk ke Singapura, bagaimana mereka boleh meneruskan kerja?,” soalnya.

Nurul Izzah berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas penyerahan memorandum itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong menerusi wakilnya, Haris Rusdi Chai dan M Ramanathan.

Nurul Izzah disertai Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Idris Jauzi; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Dilaporkan, 21 rakyat Malaysia ditahan polis Singapura berikutan dakwaan melanggar undang-undang perhimpunan awam yang diadakan di Merlion Park, Singapura pada 11 Mei lalu berkaitan bantahan terhadap PRU13 Malaysia yang didakwa berlaku penipuan.

Berikutan itu, difahamkan seorang daripada mereka dibatalkan pas kerja manakala dua lagi dibatalkan pas lawatan selain pas kerja 18 orang yang lain akan dikaji selepas siasatan selesai.

Dalam memorandum tersebut antara lain menyatakan harapan supaya kerajaan Singapura memberi peluang kedua kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Selepas PRU13 yang dipenuhi penipuan, berpuluh ribu rakyat Malaysia di seluruh dunia mengadakan bantahan dalam siri perhimpunan aman Black 505 seperti London dan Melbourne baru-baru ini.


Pengarang :