PACA Dakwa Arahan SPR Tidak Jelas, Timbul Kekeliruan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

PACA Dakwa Arahan SPR Tidak Jelas, Timbul Kekeliruan

SPR garis kuning 01

SHAH ALAM 24 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa tidak memberi arahan yang jelas kepada ejen tempat mengundi (PACA) sehingga berlaku kekeliruan dalam proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Seorang ejen PACA yang hanya mahu dikenali sebagi Rizuan, mendakwa beliau kurang diberi latihan oleh SPR sebelum proses PRU-13 bermula sehingga menyebabkan keputusan pilihan raya berkenaan boleh dimanipulasikan sesetengah pihak.


Beliau yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Tapah, Perak sewaktu PRU-13 lalu berkata, SPR seharusnya menyediakan lebih latihan praktikal kepada ejen PACA yang ramai muka baru dan tidak mempunyai pengalaman bertugas pada pilihan raya sebelumnya.

“Dari segi latihan yang pertama, sepatutnya ada lebih latihan bagi memudahkan menjalankan tugas tetapi malangnya, tiada latihan praktikal, hanya memberi kit dan fail-fail untuk dibaca.

“Manakala latihan kedua, sehari sebelum PRU-13, saya diberi arahan supaya memulakan tugas pada pukul tiga hingga lima petang, padahal saya merupakan ejen mengira undi dan sudah tentulah kerja saya hanya bermula pada pukul lima petang, di situ pun sudah ada kepincangan,” dakwanya.

Rizuan berkata demikian dalam satu sesi temubual khas bersama Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, SPR mengatakan PRU-13 merupakan antara yang terbaik di dunia kerana berpandukan amalan demokrasi dengan rakyat menentukan pihak yang layak memerintah.

Bagaimanapun SPR gagal memberikan alasan kukuh mengenai beberapa dakwaan seperti penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal, pengundi hantu dan senarai daftar pemilih yang merahukan.

Sementara itu, seorang peguam, Selva Kumaran turut mendakwa rata-rata Ketua Pusat Mengundi (KPM) juga tidak mendapat mendapat taklimat secara menyeluruh sehingga menyebabkan beberapa kekeliruan terjadi.

Katanya, mengikut Akta Pilihan Raya 1958, KPM mempunyai kuasa bagi menentukan dan membuat keputusan bagi sesetengah perkara yang terjadi sewaktu proses pengundian berlangsung.

“Jika terjadi hal-hal yang tidak dijangka, KPM cuma buat apa yang dia ingat daripada taklimat yang dihadirinya sahaja,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION