Panel Siasatan Polis Tidak Akan Selesaikan Kematian Dharmendran | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

Panel Siasatan Polis Tidak Akan Selesaikan Kematian Dharmendran

surendren-PC-HQ

PETALING JAYA 29 MEI :  Naib Presiden PKR, N Surendren mendakwa penubuhan panel siasatan khas polis bagi menyiasat kematian N Dharmendran, 32,tidak akan menyelesaikan kes kematian tahanan di dalam lokap.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam yang akan mengetuai panel siasatan khas bagi kes berkenaan.


“Panel siasatan ini tidak berguna, saya menolak penubuhan panel siasatan ini untuk menyelesaikan kes kematian Dharmendran yang berlaku pada 21 Mei lalu,” katanya.

Jelasnya, panel siasatan ini tidak memberikan manfaat selain mengitar semula idea dan konsep yang ingin dipraktikkan selepas kematian A Kugan seperti pemasangan kamera CCTV dan menyediakan khidmat doktor.

Kugan, 22, sebelum ini mati dalam tahanan polis Balai Polis USJ8, Subang Jaya pada Januari 2009.

“Selepas kematian Kugan, polis mengambil tindakan untuk memasang kamera CCTV dan pelbagai lagi kaedah untuk memastikan kematian dalam tahanan tidak berlaku lagi.

“Ini sudah dilakukan tiga ke empat tahun lalu, ini bila kes Dharmendran, mereka (polis) mula balik dengan kaedah dulu yang dicadangkan panel siasatan ini, ini merupakan salah satu percubaan untuk menipu rakyat di negara ini, kaedahnya sama dan di kitar semula,” tegasnya.

Menurut Surendran, Khalid tidak layak untuk mengetuai panel siasatan tersebut kerana gagal memberikan penyelesaian terhadap beberapa kes berkaitan ketika menjawat jawatan Ketua Polis Selangor beberapa tahun lalu.

“Khalid adalah Ketua Polis Selangor masa kematian Kugan di mana beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak benar mengenai kematian A Kugan,” jelasnya  yang merupakan Ahli Parlimen Padang Serai.

Dalam pada itu, Khalid juga terlibat dalam mengendalikan kes kematian Aminul Rashid Amzah yang ditembak polis di Shah Alam pada April 2010 lalu.

Surendren berkata, cara terbaik bagi menangani kes berkenaan adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan tindakan tegas daripada Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengelak daripada mengulas isu berkenaan dan mengalihkan kepada isu kesihatan yang didakwa dialami mendiang.

Sehingga kini, polis masih tidak menjalankan siasatan dan mengambil sebarang tindakan terhadap anggota polis yang terlibat walaupun laporan ‘post-mortem’ daripada doktor pakar mengesahkan bahawa Dharmendran dipukul dengan objek tumpul sehingga mati sewaktu berada dalam tahanan polis.

Dharmendran ditahan oleh polis pada 11 Mei lalu selepas dia membuat laporan polis di Balai Polis Pudu mengenai pembabitannya dalam satu pergaduhan dan di reman polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mendiang sepatutnya dibebaskan dengan jaminan polis pada 22 Mei tetapi menurut isterinya M Menikahlah, 26, dia  dihubungi oleh polis dimaklumkan bahawa suaminya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan diminta datang ke hospital untuk proses pengecaman mayat.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION