Pas dan DAP Terus Sokong Abdul Khalid Sebagai Calon Menteri Besar | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Pas dan DAP Terus Sokong Abdul Khalid Sebagai Calon Menteri Besar

khalid penerangan pembangunan semula BTR 03

SHAH ALAM 10 MEI : Pimpinan DAP dan Pas terus bersepakat memilih Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, sebagai calon Menteri Besar bagi penggal ke dua.

Bercakap di hadapan kira-kira 30,000 penonton dalam Majlis Kesyukuran Sempena Kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, Pengerusi DAP Selangor
Teresa Kok berkata pimpinan DAP Pusat sudah menghantar surat sokongan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.


Beliau yang juga bekas Exco Selangor berkata surat tersebut dihantar kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

“Saya harap tiada masalah dengan jawatan Menteri Besar. Harap juga rakyat memberi sokongan kepada kerajaan baru untuk pastikan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut menyatakan Pas berpendirian yang sama.

Beliau berkata menerima surat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dua hari lalu yang memberikan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Kalau ada orang Pas yang tidak percaya, saya boleh tunjukkan surat itu, kalau perlu saya tampalkan di dahi saya,” katanya sambil berseloroh.

Katanya, keputusan sepakat untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar itu menunjukkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

“Ini sikap parti-parti dalam Pakatan, kita tidak anggap jawatan sebagai piala untuk direbut dan bergaduh.

“Bukan DAP nak kata dia lebih berhak dapat sebab menang dengan majoriti yang lebih besar. Bukan juga pegangan Pas sebab Pas menang banyak.

“Saya ditanya wartawan sebelum ini, saya jawab jika satu pasukan bola sepak menjadi juara dan secara tiba-tiba mahu menukar pengurusnya itu merupakan tindakan kurang bijak dan pelik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kerana Dap dan Pas menyokong beliau untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua parti. Begitu juga kepada rakyat yang menyokong saya.

“Itu perkara baru dalam politik di negara Malaysia bila rakyat sendiri yang menjadi penentu kepada pimpinan,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan turut menyatakan sokongan untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Keputusan Menteri Besar Selangor bakal diumumkan DYMM Sultan Selangor

PR Selangor berjaya membentuk kerajaan baru selepas memenangi kemenangan dua pertiga dengan majoriti 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya umum ke 13.

DAP dan Pas masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR memenangi 14 kerusi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION