NASIONAL

Pasukan Siasatan PRU-13 Lebih Fokus Keputusan Di 27 Parlimen Meragukan

SPR garis kuning 01

PETALING JAYA, 13 MEI: Pasukan siasatan penipuan dan penyelewengan pilihan raya, #Siasat PRU-13 hari ini memberitahu ia akan menumpukan perhatian kepada proses pengundian di kira-kira 27 kawasan parlimen.

Ketua kumpulan itu, Rafizi Ramli berkata tumpuan kawasan-kawasan tersebut disasarkan kerana memenuhi empat kriteria di mana penipuan didakwa berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU ke-13).

Empat kiteria tersebut adalah keputusan majoriti tipis bawah lima peratus, undi rosak mengatasi marjoriti tipis, peratusan serta pola pengundi pos dan pengundi awal mengatasi marjoriti dari pengundi biasa.

Pasukan yang dianggotai 67 sukarelawan itu, turut memberi perhatian kepada kerusi-kerusi di mana terdapat laporan polis daripada pengundi berkenaan penipuan pilihanraya.

“Kriteria ini digunapakai untuk menetapkan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang akan disiasat dengan lebih mendalam,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.

Kerusi Parlimen tersebut adalah Bentong, Kuala Selangor, Baram, Sungai Besar, Pasir Gudang, Labis, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Tebrau, Bagan Serai, Kota Marudu, Beaufort, Setiawangsa dan Segamat.

Kerusi lain yang turut menjadi fokus adalah Ledang, Balik Pulau, Kulim Bandar Bahru, Pulai, Kuala Kangsar, Muar, Pendang, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Merbok, Pensiangan dan Saratok.

“Siasat PRU-13 akan mendedahkan bukti yang dikumpul dalam tempoh seminggu dari sekarang, setelah saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan lanjut,” kata Rafizi, yang juga MP Pandan.

Sambil mengakui siasatan ini merupakan satu tanggungjawab yang berat, Rafizi berkata pasukannya turut meneliti setiap video dan foto yang memaparkan perbuatan penyelewengan dan penipuan pilihan raya bagi menjejaki individu terlibat.

Sebelum ini, PKR mengumumkan penubuhan pasukan siasatannya dengan kerjasama PAS dan DAP ekoran terdapat pelbagai dakwaan penyelewengan dan penipuan yang berlaku sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Hasil siasatan itu akan digunakan sebagai bukti ketika memfailkan petisyen dalam tempoh 21 hari selepas SPR mengazetkan keputusan PRU-13 yang dijangka akan berlaku pada minggu ini.

ends


Pengarang :