NASIONAL

Pendakwaan Dibawah Akta Hasutan Pilih Kasih, Zalim

tian haris tamrin akta hasutan 01

SHAH ALAM 30 MEI : Pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan empat aktivis semalam adalah zalim kerana akta tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua, ahli Pas Thamrin Ghafar dan aktivis Hariz Fathillah Mohamed Ibrahim, Safwan Anang dan Hishamuddin Rais didakwa di mahkamah seksyen kerana kenyataan mereka di sebuah forum pada 13 Mei.

Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui akta tersebut menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk menghapuskan akta tersebut.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan menggunakan hakikat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan sebagai asas untuk membatalkan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Menurut Gobind lagi, kata-kata yang dituturkan oleh ketiga-tiga tertuduh sama-sekali tiada unsur hasutan.

“Apa yang disebut atau dikatakan merupakan perkataan-perkataan menghasut itu memang tidak menghasut seperti sedia ada,” kata Gobind yang juga MP Puchong.

Kelima-lima individu tersebut dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta semalam.

Mereka didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan di satu forum 13 Mei, di Kuala Lumpur, 13 Mei lepas.

Mereka mengaku tidak bersalah dan Hakim Norsharidah Awang membenarkan mereka diikat jamin RM 5,000 setiap seorang. Pendengaran kes ditetapkan pada 2 Julai.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tiga tahun atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya.

Gobind menyifatkan pendakwaan yang dilakukan ke atas lima individu tersebut bukan sahaja menentang Perlembagaan bahkan juga bersikap pilih kasih.

“Ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dimana kita menyatakan akta hasutan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.”


Pengarang :