NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01

KLANG 30 MEI : Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.

Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.

Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.


Pengarang :