NASIONAL

Peranan Paul Low Tidak Berkesan Jika Tidak Didayakan Dalam Kabinet

bn putrajaya

SHAH ALAM, 21 MEI : Perlantikan Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (TIM), Datuk Paul Low sebagai Menteri disifatkan tidak mendatangkan hasil sekiranya beliau tidak diberikan kuasa sepenuhnya untuk memperkenalkan pembahruan untuk membasmi rasuah.

Perlantikan Paul akan hanya bermakna sekiranya pembahruan-pembahruan yang dibawa beliau diterima kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebelum ini, Malaysia telah menubuhkan institusi, agensi dan undang-undang anti-rasuah tetapi persepsi rasuah masih buruk kerana tiada iiltizam politik untuk membersihkan pentadbiran.

Dr Dzulkefly berkata Paul dibawa masuk ke dalam Kabinet dengan harapan supaya komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membanteras rasuah dapat dilihat rakyat sebagai sesuatu yang positif.

“Saya mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun Low adalah daripada TIM, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa sekiranya peranannya (Low) tidak didayakan di dalam Kabinet.

“Ini bermakna, sekiranya Low mengesan kecurangan dalam tadbir urus dan tata kelola khususnya pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya, beliau mesti menyatakan tentangan dengan tegas, telus, lantang dan berani,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Paul, seorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti politik Umno-BN dilantik sebagai Menteri di Dalam Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tegas Dr Dzulkefly, pelantikan Paul tidak akan mengubah tanggapan buruk rakyat terhadap pentadbiran Najib ekoran pelbagai salah guna kuasa yang dilaporkan berlaku sebelum ini.

“Undang-undang itu ada, institut pun ada, badan penguatkuasaan pun ada tetapi kesemuanya akan gagal andainya pihak eksekutif tidak mempunyai komitmen yang tegas untuk memerangi rasuah.

“Peraturan boleh dibolosi kerana tiada iltizam politik untuk membersihkan pentadbiran,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan melahirkan kebimbangan beliau terhadap pemilihan Paul dalam Kabinet yang dikatakan mungkin tidak akan mendatangkan sebarang impak.

“Pelantikan Low ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana beliau bukan daripada kalangan ahli politik.

Tetapi apa yang membimbangkan ialah sama ada beliau akan diberikan tanggungjawab yang membolehkannya melakukan tugasan atau hanya bertindak sebagai penasihat sahaja.

“Kita perlu tunggu sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga enam bulan untuk melihat perubahan,” jelasnya.


Pengarang :