Selangorkini
NASIONAL

PKR Minta Polis Selangor Siasat Kenyataan Perkauman Bekas Hakim

Saifuddin Nasution Ismail putih 01
PETALING JAYA, 14 MEI: PKR menggesa Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menyiasat kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail siasatan ini sebagai kesinambungan tindakan polis yang akan memanggil beberapa pimpinan Pakatan Rakyat(PR) berhubung kenyataan di dalam ucapan Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Kelana Jaya minggu lalu.

“Saya suka mencadangkan juga kepada Ketua Polis Selangor agar menambah lagi dibawah Akta Hasutan, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah di mana kenyataan beliau lebih berbaur hasutan berbanding dengan slogan ucapan pimpinan Pakatan di Kelana Jaya.

“Saya menggesa Ketua Polis Selangor dapat menyemak semula kenyataan yang menyebut di mana orang Melayu pantang dicabar, orang Cina hanya menunggu masa menerima balasan kerana mengkhianati kepercayaan orang Melayu dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR.

Sebelum ini Mohd Noor mendakwa kononnya masyarakat Cina mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

Menurut Saifuddin lagi, setakat ini Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dipanggil memberikan kenyataan.

Sementara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihubungi polis dan masih menetapkan tarikh perjumpaan.

Dalam pada itu, Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersedia untuk turut sama dalam Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat selain mengemukakan cadangan untuk mengadakan satu Konvensyen Perpaduan Nasional memandangkan polemik perkauman dibangkitkan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Cadangan ini akan dibawa kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Tambah Saifuddin lagi, konvensyen ini akan membincangkan formula pengukuhan antara kaum di Malaysia.

Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan sesi suai kenal bersama semua calon PR yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara bagi mendengar amanat dan taklimat berhubung tatacara kerja dan penghujahan semasa persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Pada PRU-13, Pakatan Rakyat menang di 89 daripada 222 kerusi Parlimen dan 229 daripada 505 DUN yang dipertandingkan


Pengarang :