NASIONAL SELANGOR

PKR Punyai Bukti Laporan Polis Berkenaan Pegawai SPR Dikurung

saifuddin nasution kongres ke 9 PKR 04PETALING JAYA 27 MEI :  Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa mempunyai bukti laporan polis dibuat tentang dakwaan bahawa 24 orang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dikurung bagi memangkah kertas undi di kawasan Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa terdapat satu laporan Polis yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkenaan kejadian itu.

“Kejadian itu berlaku di Parlimen Besut dan laporan Polis itu sampai ke Pejabat PKR kerana kita membuka ruang untuk semua aduan untuk disampaikan.

“Dan aduan laporan Polis itu menyebut secara terperinci nama petugas dan apa serta bila ia berlaku serta siapa yang melakukannya,” kata Saifuddin

Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya di sini semalam.

Ujar Saifuddin, laporan itu jelas menyebut nama calon dari Barisan Nasional yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kami tidak mendedahkan nama calon BN itu, tetapi apa yang kami dedahkan kami memiliki salinan laporan Polis yang dibuat oleh pihak SPR mengenai kejadian yang membabitkan calon BN di Besut.

Dakwa Saifuddin, petugas itu adalah salah seorang petugas SPR yang telah membuat laporan Polis mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Idris Jusoh berhasrat menyaman PKR termasuk pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa bahawa 24 orang petugas SPR dikurung bagi memangkah kertas undi di Parlimen Besut.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, calon BN Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memperoleh 35,232 undi menewaskan calon PAS, Riduan Mohamad Nor yang memperoleh 26,890 undi. Idris menang dengan majoriti 8,342 undi.


Pengarang :