NASIONAL SELANGOR

PR Desak SPR Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Salah Laku PRU-13

01

SHAH ALAM 7 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa membentuk satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat segala dakwaan mengenai salah laku semasa Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) yang lalu.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Pakatan Rakyat(PR) mendapat maklum balas yang membimbangkan daripada calon dan pengundi mengenai penipuan, pengundi hantu, ketidaktelusan semasa proses pengundian kali ini.

“Kita dapat banyak maklumat dan maklum balas daripada pengundi dan calon ketika melawat kawasan pembuangan undi di mana ada kes-kes yang amat membimbangkan kita di mana berlaku penipuan, pengundi hantu, ketidak adilan dalam proses PRU.

“Kita tak mahu perkara ini berterusan dan kita berharap SPR mengambil tindakan segera untuk respon kepada aduan dan dakwaan yang dilemparkan dan dengan bukti yang cukup kuat dan kukuh,” katanya yang merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pimpinan PR Selangor di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata SPR harus bertanggungjawab terhadap segala aduan mengenai salah laku ketika proses pengundian PRU-13.

Katanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf harus meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas dengan adil dan saksama.

“Kita minta Pengerusi SPR ini letak jawatan sahajalah.

“Sebab saya sendiri diantara 250 orang lebih di Meru yang buat laporan polis di mana jari saya kononnya dakwat kekal itu boleh hilang apabila dibasuh, sebelum ini SPR menafikan bahawa dakwat itu tidak akan hilang,” katanya yang merupakan Adun Meru.

Menurut Dr Rani, tinjauan beliau mengenai proses PRU di negara luar yang menggunakan dakwat kekal tidak seperti apa yang berlaku di negara ini.

“Sebelum ini saya ke Tamil Naidu dan Kenya yang menggunakan dakwat kekal memang boleh tahan lebih daripada seminggu, sedangkan dakwat kekal ini dibeli dengan wang rakyat jutaan ringgit.

“Lebih baik pakai inai, lebih murah,” sindirnya.

Jelasnya, penipuan ketika PRU sangat jelas di beberapa kawasan seperti lampu ditutup ketika proses pengiraan undi dan kehadiran warga asing yang diberikan kad pengenalan untuk mengundi.

“Ada juga kawasan yang berulang peristiwa di mana lampu ditutup, keadaan sebelum itu lain, lepas itu lain, contoh di kawasan Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly yang asalnya menang, tetapi akhirnya tewas dengan perbezaan majoriti undi yang sedikit.

“Bila kita minta kira semula, tapi ditolak walaupun peguam ada,” ujarnya lagi.


Pengarang :