NASIONAL SELANGOR

Rodziah : PM Puji Rosmah Berdasarkan KPI Atau Sebagai Suami Isteri

rosmah-permata-2

SHAH ALAM 28 MEI : Tidak pasti apakah pujian pujian Perdana Menteri terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung Projek Permata Negara berlandaskan hubungan suami isteri atau berdasarkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) projek tersebut.

Demikian respon Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Rodziah Ismail ketika diminta mengulas pujian Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Women Deliver 2013, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini

Najib dalam ucapannya menyanjung tinggi kerja-kerja kebajikan yang dijalankan isterinya selain mendakwa usaha Rosmah itu memberi dividen besar kepada negara.

Bagaimanapun, Rodziah merasakan Projek Permata yang dicetuskan Rosmah itu tidak mencapai sasaran yang sewajarnya kerana ia hanya tertumpu pada segelintir kumpulan kanak-kanak.

“Saya lebih menggesa Perdana Menteri untuk melihat kebajikan kanak-kanak kepada hak yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang mereka samada daripada kawasan kampung atau bandar, untuk mendapat pendidikan awal.

“Isu pendidikan awal kanak-kanak ini sepatutnya dilihat secara lebih menyeluruh sedangkan Projek Permata seolah-olah hanya mensasarkan golongan tertentu dan elit untuk beroleh manfaaat,” ujar Rodziah yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Seharusnya, tegas Adun Batu Tiga ini, Kerajaan Persekutuan perlu mewujudkan insentif tertentu untuk disalurkan secara terus kepada ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika dilihat, kebanyakan projek-projek persekutuan ini lebih pentingkan bilangan atau kuantiti sementara kualiti langsung tidak dipantau.

“Malah, kita juga tidak tahu siapa yang benar-benar menerima manfaat daripada projek yang dijalankan,” jelasnya lagi.

Projek Permata Negara mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan tujuan memberi peluang kanak-kanak di bawah umur 4 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran awal.

Projek ini juga menerima peruntukan setiap tahun dalam bajet Kerajaan Pusat dan terbaru dalam Bajet 2013 yang dibentangkan September tahun lalu, sejumlah RM111 juta daripada bajet pendidikan diberikan kepada Projek Permata yang diketuai Rosmah ini.

Ia bagaimanapun tidak dimasukkan laporannya dalam Laporan Audit Negara menyebabkan tiada siapa arif dan tahu tentang bagaimana peruntukan yang diterima dibelanjakan.

Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga April lalu, lebih RM600,000 diperuntukkan untuk memberi bantuan Tadika (Skim Tunas) dan Taska (Skim Si Kembar) kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Untuk Skim Tunas, keluarga berpendapatan RM 2,500 sebulan layak untuk mendapat bantuan RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka yang berusia antara empat hingga enam tahun ke tadika.

Sementara itu, bagi Skim Si Kembar, kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pengarang :