NASIONAL

‘Satu Undi Untuk Noh Omar Bermakna Undi Untuk Perkasa’

Jangan Sokong Noh Omar 02

TANJONG KARANG 3 MEI : Pengundi di Parlimen Tanjong Karang digesa menolak politik perkauman sempit yang dibawa pimpinan Umno-BN, tegas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

“Satu undi untuk Datuk Seri Noh Omar bermakna satu undi untuk pihak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), satu undi untuk Umno bermakna satu undi untuk politik perkauman, kita tidak boleh bawa politik perkauman,” kata Azmin.

Beliau menggesa masyarakat Tionghua untuk tidak lagi takut kepada perjuangan PAS kerana pimpinan mereka adalah kalangan yang mempunyai integriti dan bermoral tinggi.

“Anda perlu takut kepada Umno, orang PAS dia baik tidak menzalimi rakyat tetapi ini orang Umno betul dia Melayu tetapi dia curi tanah rakyat.

“Satu undi kepada Calon Permatang, Yahya Sahri dan bermakna satu undi untuk mewujudkan satu keluarga besar,” ujar Azmin.

Beliau berkata demikian semasa Ceramah bersama Penduduk Kampung Baru Tiram Jaya di sini yang dihadiri kira-kira 200 orang.

Jelas Azmin, beliau mahu semua kaum hidup dalam keadaan aman damai dan bekerjasama dengan menolak konsep 1Malaysia yang tidak menghayati konsep sebenar kerjasama antara kaum.

Katanya, pengundi perlu berani membuat perubahan pada 5 Mei ini untuk memilih calon Pakatan Rakyat agar rakyat dipimpin oleh mereka yang dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

“Jika tuan dan puan mahu suara di DUN Permatang ini didengari di Sidang Dewan Undangan Negeri maka orangnya ialah Yahya Sahri yang akan membawa suara rakyat dan yang akan membawa pembangunan di sini.

“Rakyat Tanjong Karang biarlah dijaga oleh pemimpin amanah,” kata Azmin.

Jangan Sokong Noh Omar 01


Pengarang :