NASIONAL

Seleweng PRU13 : SPR Perlu Bersemuka Dengan Rakyat

rafizi 01

PETALING JAYA, 29 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersemuka dengan rakyat bagi menjelaskan semua dakwaan dan laporan polis berkaitan penyelewengan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kesediaan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar  bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 adalah suatu yang lucu.

“Saya agak lucu apabila tiba-tiba Datuk Wan Ahmad beriya-iya nak jumpa dengan saya dan wakil-wakil dari Pakatan Rakyat (PR) untuk berbincang,” katanya.

Rafizi mendakwa, pimpinan PR  mengadakan perbincangan bersama SPR berkali-kali tetapi tiada perubahan dilakukan sehingga PRU-13 berakhir.

“Dulu dia kata dakwat kekal boleh kekal, bila tak kekal sebab tak goncang, bila dah goncang tapi masih tak kekal dia cakap kalau kekal tak boleh solat.

“Dia ada lima versi yang berbeza untuk setiap satu penyelewengan yang kita sudah tunjukkan bukti.

“Dulu dia kata tak ada satu pun ‘blackout’ di Malaysia ini, bila tunjukkan laporan polis semalam, dia kata tak apalah nanti kita bincang,” sindirnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

“Saya sendiri hanya bersetuju berjumpa dengan beliau (Wan Ahmad) dalam satu forum rakyat yang mana beliau (Wan Ahmad) mengambil dan menerima soalan daripada rakyat.

“Terutama mereka yang melalui sendiri pelbagai penyelewengan ini dan kami akan kumpulkan dalam satu forum, biar dia (Wan Ahmad), saya, Datuk Johari Abdul, YB Fuziah duduk, biar rakyat tanya dan dia jawab, itu lebih baik,” ujarnya.


Pengarang :