Pelbagai

Seruan Anwar, Hadi dan Nik Aziz Ini kalilah

pakatan rakyat putrajaya naeem

SHAH ALAM 4 MEI : Ini kalilah! Sejarah baru akan tercipta selepas Ahad ini dengan Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih Kerajaan Persekutuan daripada BN.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan sokongan rakyat di seluruh negara yang condong memilih PR dengan kehadiran luarbiasa dalam sesi ceramah diadakan termasuk di Johor, Sabah dan Sarawak yang merupakan kubu kuat BN.

Menurutnya, rakyat tidak harus berasa takut dengan peralihan kuasa yang akan berlaku kerana ia akan dilakukan secara aman dengan Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat yang dianggotai bekas jeneral dan ketua polis akan membantunya serta pemimpin PR lain untuk mengendalikan proses berkenaan.

“Dalam melakukan persediaan untuk bulan-bulan pertama mentadbir kerajaan, saya akan mengeluarkan peta laluan PR yang menggariskan tindakan-tindakan utama yang akan kita ambil untuk memenuhi janji-janji manifesto kami.

“Seperti yang saya tekankan, fokus peta laluan ini mestilah pro-rakyat dan mengandungi langkah-langkah yang akan mempunyai kesan segera dan manfaat jangka panjang.

“Ini adalah langkah-langkah perubahan yang BN tidak bersedia laksanakan tetapi akan dilakukan oleh PR. Ini merupakan perubahan yang akan membawa pembaharuan, kemerdekaan yang sebenarnya ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Anwar turut memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan sementara bahawa rakyat tidak akan toleran terhadap sebarang penipuan pilihan raya.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan gagasan besar PR dengan dianggotai PKR, PAS dan DAP  membawa Malaysia ke satu era baru iaitu menolak politik berasaskan perkauman yang dimonopoli BN selama ini.

Oleh itu, PAS sekali lagi ingin memberikan jaminan bahawa institusi awam yang berkait rapat dengan kedudukan orang Melayu beragama Islam dalam negara ini sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas sedikit pun.

“PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam PR tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada mana-mana pihak.

Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar,” katanya.

Manakala Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan atas semangat pemuafakatan tahaluf siasi, PAS, PKR dan DAP sedia menjadi pilihan terbaik berbanding BN yang memerintah negara selama lebih 55 tahun.

“Justeru, PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan politik Islam, sudah tentu PAS tidak akan berganjak seinci pun dalam memelihara kesucian agama Islam. Atas penegasan ini, maka PAS sedia menawarkan peranan yang lebih besar bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Saya dengan ini memberi jaminan seutuhnya sekiranya PR menguasai Putrajaya maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepadasistem Raja Berperlembagaan,” ujarnya.

Nik Abdul Aziz memberi jaminan PAS akan terus berjuang untuk membebaskan penjawat awam dari cengkaman politik dan mempastikan tiada seorang pun kakitangan awam menjadi mangsa politik walaupun mereka mempunyai kefahaman politik yang berbeza.


Pengarang :