SELANGOR

Tahan Pengundi Hantu Di Klang, Dua Lelaki Mengaku Tak Bersalah

Tahan Pengundi Hantu Di Klang 01

KLANG 10 MEI : Dua lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terlibat dalam rusuhan serta menyebabkan kerosakan harta pada hari mengundi 5 Mei lalu.

Yap Kwee Hong, 37, dan Lim Siong Kuan, 32 didakwa berada dalam rusuhan dan memiliki helmet serta besi yang digunakan sebagai senjata untuk memecahkan cermin bas pada Ahad lalu.

Ketika pertuduhan dibacakan, kedua-duanya mengangguk faham dengan dakwaan yang dikenakan namun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kwee Hong juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi dakwaan melakukan khianat memecahkan cermin bas City Liner Sdn Bhd di Pandamaran pada hari mengundi itu.

Majistret Maslina Mohamed kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 terhadap Siong Kuan manakala Kwee Hong dikenakan RM5,000 bagi dua pertuduhan.

Mereka perlu diikat jamin oleh seorang ahli keluarga selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu sehingga perbicaraan kes selesai.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguambela S. Ramesh dan T. Mishant daripada Mishant & Co sementara pihak pendakwaraya pula diwakili Farawahida Md Nor.

Mereka merupakan antara enam individu yang ditahan polis berhubung insiden penahanan pengundi hantu dalam dua buah bas di Pandamaran pada Ahad lalu.

Perbicaraan bagi kes tersebut ditetapkan pada 19 Jun ini.

Turut hadir menemani kedua-dua tertuduh ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

“Niat mereka adalah mempertahankan kedaulatan negara, daripada membenarkan warga asing mengundi untuk tentukan masa depan kita semua yang mana ianya juga adalah salah dari segi undang-undang.

“Bagaimanapun, mereka ini akan dihadapkan ke mahkamah dan terdapat empat orang lagi yang akan dituduh di bawah kesalahan yang serupa.

“Kita harapkan keadilan akan terserlah di mahkamah nanti,” ujar Charles.

 


Pengarang :