Selangorkini
NASIONAL

Tiga Taktik Kotor Umno-BN Menang PRU-13

Lim Kit Siang

PETALING JAYA, 24 MEI : Umno-BN didakwa menggunapakai tiga taktik kotor semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, tiga taktik kotor itu merujuk kepada politik wang untuk membeli undi, pembohongan yang mendakwa konon wujudnya dominan kaum antara PAS dan DAP serta menakut-nakutkan rakyat mengenai peristiwa 13 Mei yang akan berulang jika Pakatan Rakyat (PR) mentadbir negara.

“Mereka (Umno-BN) menggunakan wang untuk membeli undi rakyat dengan memberi pelbagai manfaat yang bukan sahaja dibuat semasa tempoh berkempen, tetapi lebih awal sebelum itu.

“Taktik kedua iaitu berbohong di mana mereka kata PR tidak boleh menang kerana walaupun rakyat undi DAP tetapi PAS akan jadi parti dominan dan sebaliknya. Mereka juga dakwa PAS dan PKR hanyalah boneka sahaja.

“Taktik ketiga iaitu menakut-nakutkan rakyat dengan mengatakan malapetaka, huru-hara serta peristiwa 13 Mei akan berulang jika PR menang,” katanya di hadapan lebih 3,000 penyokong sempena Himpunan Kesyukuran PR di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Tambahnya, biarpun hasrat PR untuk menawan Putrajaya dalam PRU lalu tidak berhasil, namun beliau menggesa rakyat supaya tidak berputus asa dan terus berjuang menuntut pilihan raya yang bersih.

Katanya, penambahan tujuh kerusi Parlimen PR kepada 89 juga adalah bukti kebangkitan rakyat yang mula menolak politik kotor dan semakin bersedia membuat perubahan.

“Kita tidak berjaya ubah kerajaan di Putrajaya, tetapi ada kemajuan (penambahan kerusi) hingga Perdana Menteri kata keputusan PRU adalah tsunami Cina, tetapi ini adalah tsunami rakyat Malaysia.

“Sungguhpun ada percubaan untuk melaga-lagakan Cina dengan Melayu, tetapi itu tidak akan menjadi halangan untuk kita mengerakkan politik yang memperjuangkan hak rakyat tanpa ada korupsi,” jelasnya.


Pengarang :