NASIONAL

Umno-BN Terus ‘Peralat’ Rakyat Luar Bandar

Ghafar Baba 04

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Datuk Thamrin Tun Ghafar Baba mendedahkan rahsia kemenangan Umno-BN yang terus memperalatkan rakyat luar bandar melalui ‘pemberian kenang budi’ agar mereka terus memberikan sokongan setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, melalui pemberian ini masyarakat luar bandar akan terus dibiarkan hidup miskin dan mereka mengambil kesempatan di atas keadaan berkenaan.

Ghafar Baba 01“Malangnya pengundi-pengundi Melayu di luar bandar mereka adalah golongan miskin. Terpaksa menerima RM500, apabila terima, mereka rasa terhutang budi.

“Semasa saya lama di dalam Umno dahulu ini adalah rahsia kemenangan Umno.

“Umno-BN boleh terus berkuasa di atas kemiskinan rakyat di luar bandar,” katanya Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi.

Selain itu, modus operandi meniupkan sentimen perkauman masih diteruskan Umno-BN meskipun peristiwa hitam 13 Mei 1969 sudah 44 tahun berlalu oleh kerana ‘The Devils Is Still Around’.

130513_0500“Malam ini saya ingin ulang apa yang saya sebutkan di Gelang Patah dan saya bersedia berdepan tindakan.

“Sebenarnya peristiwa 13 Mei adalah dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan nak menaikkan Tun Razak,” katanya.

Thamrin menambah, Mahathir merupakan seorang yang pendendam kerana sejak beliau menjadi Perdana Menteri, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan penentang utama.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu Gerakan Anti Perkauman (GAP) ditubuhkan bagi membendung budaya perkauman yang cuba dihidupkan kembali oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“GAP turut akan libatkan penyertaan peguam. Mana-mana pimpinan yang mengeluarkan kenyataan perkauman akan diheret ke mahkamah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, satu himpunan satu juta rakyat akan diadakan dalam masa terdekat bagi menuntut hak demokrasi yang tercemar semasa PRU-13 yang lalu.

Sehubungan itu, rakyat diminta bersedia untuk sebarang informasi berhubung perkara berkenaan melalui notis yang akan disebarkan dalam tempoh lima hari ini.

Ghafar Baba 03Himpunan 13 Mei Hari Bangsa Malaysia: Selamatkan Demokrasi yang diadakan di Dewan Himpunan Cina (KLCAH) menyaksikan kehadiran hampir 500 penyokong demokrasi yang menuntut perubahan ekoran dakwaan terlalu banyak kecurangan semasa pembuangan undi 5 Mei lalu.

Dalam pada itu, Anak Bangsa Malaysia yang diwakili Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut membacakan Deklarasi 13 Mei hasil tulisan tangan sebelum diserahkan kepada Nurul Izzah Anwar.

Deklarasi berkenaan mengandungi empat perkara iaitu 13 Mei merupakan hari perpaduan rakyat malaysia, menolak keputusan PRU-13 yang kotor, menubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dan mengadakan perarakan untuk buktikan kemarahan rakyat.

Turut hadir sama, Sasterawan Rakyat, Datuk A Samad Said yang mendeklamasikan sajak bertajuk ‘Ibu Segala Tipu’.

 


Pengarang :