NASIONAL

Usul Pilihanraya PKR Mahu Rombak Kerusi Parlimen, Terus Mempertikai Kemenangan Umno-BN

crowd kongres ke 9 PKR 02

PETALING JAYA 25 MEI : Usul pilihanraya Kongres Nasional Keadilan ke 9 hari ini membuat enam tuntutan antaranya merombak saiz kawasan parlimen dan dewan undangan negeri dan terus bina muafakat nasional untuk mempertikaikan kemenangan kerajaan Umno-BN dalam pilihanraya ke-13.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata antara tuntutan adalah :

* Mendesak perletakan jawatan semua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana gagal melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil.

* Selain itu, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang terus memainkan sentimen perkauman berikutan pilihanraya yang lalu.

* membina muafakat nasional bagi mempersoalkan keabsahan kerajaan Umno-BN yang menang dengan penipuan, penyelewengan dan ketidakadilan

* memperjuangkan reformasi tulen sistem pilihanraya dengan melibatkan semua pihak bagi mengembalikan kewibawaan sistem demokrasi negara.

* menyokong pasukan parti untuk menyiasat pelbagai ketempangan pilihanraya dan bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat serta Tribunal Rakyat yang ditubuhkan Bersih.

* merombak saiz kerusi bagi mengelakkan perbezaan saiz ketara yang wujud masa kini bagi memastikan keseimbangan undi di antara setiap rakyat Malaysia.

Usul tersebut dibentangkan hadapan kira-kira 1,000 perwakilan Kongres Keadilan Ke-9 PKR di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini.

Saifuddin Nasution juga berkata masih wujud anggota parti yang bertanding bebas dan mensabotaj gerak kerja pilihanraya parti.


Pengarang :