NASIONAL

Zuraida: Wanita Perlu Peka Isu Semasa

Wanita kongres 2

PETALING JAYA 24 MEI : Ketua Wanita PKR menyeru semua kompenan wanita parti itu lebih peka dengan isu semasa dan mampu berhujah diperingkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke 13 baru berlalu, tetapi gerak kerja pilihan raya akan datang harus dipersiapkan kini.

“Kita mahu wanita lebih peka dengan isu semasa supaya kita dapat mendedahkan kepada rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pihak lawan,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional ke 9 di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Beliau turut mahu Wanita PKR terus menjadi komposisi penting dalam parti seterusnya mempersiapkan diri menjadi model kepada pemberdayaan wanita seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraida meminta budaya meminggirkan calon wanita seperti yang dilakukan Umno-BN perlu dihakis dalam PKR.

Katanya, sewajarnya Wanita PKR tidak menjadi seperti wanita Umno-BN yang masih lagi ditakuk lama dan gagal mengetengahkan secukupnya calon wanita walaupun sudah 50 tahun bertapak di negara ini.

Wanita kongres 1

Ini berbeza dengan PKR, kerana ada wanita PKR berjaya menjadi Pengarah Pilihan Raya, Wakil Calon, Pengurus Kempen dan Ketua Daerah Mengundi.

Dalam PRU13, Wanita PKR berjaya di tiga kerusi Parlimen (27.3 peratus) daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Manakala, berjaya meraih lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (42.1 peratus) daripada 18 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, berdasarkan kerusi yang dimenangi, Wanita PKR masih belum berjaya memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pusat, negeri dan organisasi parti.

Justeru, Zuraida berharap supaya pimpinan pusat parti mempertimbangkan seberapa ramai calon wanita masa depan.


Pengarang :