Selangorkini
NASIONAL

AGM DAP : Anthony Loke Dakwa Utusan Tipu Lagi

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA, 5 JUN: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke hari ini membidas akhbar Utusan Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang didakwanya sengaja melakukan penipuan dan tidak bertindak profesional dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, Utusan Malaysia sekali lagi cuba memburukkan imej DAP dengan mendakwa bahawa parti itu secara tergesa-gesa mengarahkan setiap cawangannya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Kata Anthony, Utusan mendakwa tindakan tersebut diambil kononnya bagi mencantas mana-mana cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lepas.

Sedangkan keputusan menundakan AGM yang dibuat sebelum ini bertujuan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kempen pilihan raya yang baru berlangsung 5 Mei lalu.

“Sepatutnya AGM kita diadakan pada bulan April dan Mei, tetapi oleh kerana pilihan raya diadakan pada bulan Mei dan dibubarkan pada awal April, maka kita mengambil satu keputusan tunda untuk memanjangkan tempoh itu sehingga akhir bulan ini.

“Pilihan raya baru sahaja habis, tentulah kita perlukan sedikit masa untuk memulakan AGM dan pada hujung Mei sehingga sekarang banyak cawangan yang sudah mengadakan, ini akan berterusan hingga akhir Jun nanti,” kata Anthony dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Anthony berkata, laporan tersebut juga dilihat bertujuan untuk memberikan justifikasi kepada ROS bagi mengambil tindakan terhadap DAP.

“Saman RM200,000 nampaknya terlalu murah bagi Utusan, lepas ini mahkamah patut anugerahkan lebih tinggi lagi,” ujarnya lagi.

Beliau turut kesal dengan sikap tidak profesional ROS yang berterusan ‘menghukum’ DAP melalui kenyataan di Utusan Malaysia walaupun masih menjalankan siasatan mereka.

Semalam Utusan Malaysia dalam laporan bertajuk ‘Dedah Taktik Terbaharu DAP’ mendakwa DAP mungkin berdepan dengan satu lagi kemelut berikutan keputusan ‘tergesa-gesa’ kepemimpinan tertinggi untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) setiap cawangan parti itu sejak dua minggu lalu.


Pengarang :