Selangorkini
NASIONAL

Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Adun Kuala Besut

anwar batik blue 23 jun 01

KUALA LUMPUR, 27 JUN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Adun Kuala Besut, Dr Abdul Rahman Mokhtar yang disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat kanser paru-paru.

Abdul Rahman, 55, merupakan anggota Exco Terengganu meninggal dunia tujuh hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham Abdul Rahman atas kematian beliau dan mendoakan supaya rohnya dicucuri rahmat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Jenazah allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Teluk Bayu Kuala Besut selepas solat Zohor.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pilihan raya kecil yang dijangka akan diadakan ekoran kematian Adun Kuala Besut itu, Anwar menjelaskan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Bagaimanapun, beliau yakin pimpinan tertinggi PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi memutuskan calon untuk diletakkan di kawasan itu.

“PAS akan tentukan kemudian dalam mesyuarat pimpinan tertinggi mereka,” ulasnya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, Abdul Rahman menewaskan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.


Pengarang :