Selangorkini
NASIONAL

Arah Aktiviti Lombong Permatang Kuartza Di Henti Serta Merta

mb

SHAH ALAM, 5 JUN : Kerajaan Negeri menggesa supaya aktiviti perlombongan batu di Permatang Kuartza, Gombak dihentikan serta-merta berikutan lesen perlombongan di kawasan itu tidak pernah dikeluarkan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebaliknya, menurut Abdul Khalid, kawasan perlombongan sepanjang lima kilometer Permatang Kuartza itu akan diusahakan bagi mendapat pengiktirafan sebagai Taman Warisan Dunia daripada UNESCO.

Justeru tegasnya, aktiviti perlombongan yang dijalankan sekarang seperti yang dilaporkan media sebelum ini adalah suatu aktiviti haram.

“Perlu ditekankan di sini bahawa walaupun mendapat banyak permohonan daripada syarikat dalam dan luar negara termasuk China, Jepun dan Korea, namun Kerajaan Negeri Selangor tetap tidak akan mengeluarkan lesen.

“Kerajaan Negeri memandang berat kes perlombongan haram dan komited dalam menjayakan Projek Pemeliharaan Permatang Kuartza Klang Gates yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini petang tadi.

Tegasnya, Kerajaan Negeri juga mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains untuk menyediakan laporan terperinci jumlah batu kuartza yang sudah dikeluarkan dari kawasan itu dan kerosakan akibat perlombongan haram ini.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat turut diarahkan supaya meningkatkan pemantauan di kawasan Permatang Kuartza.

“Laporan dijangka disiapkan dalam tempoh dua minggu bagi memberi peluang pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti kawasan batu kuartza yang mungkin telah diceroboh.

“Mereka yang didapati terlibat menjalankan perlombongan haram ini boleh didakwa atas kesalahan menjalankan perlombongan tanpa lesen, menceroboh dan mencuri,” katanya lagi.


Pengarang :