Pelbagai

CCTV Bukan Jalan Penyelesaian Atasi Kematian Tahanan Polis

surendran speech mic 02

SHAH ALAM 3 JUN : Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokap balai polis bukan jalan penyelesaian untuk menangani kes kematian tahanan ketika di bawah pengawasan polis.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran yang dihubungi berkata, kerajaan didesak untuk kesekelian kalinya agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) pada kadar segera.

Katanya, walaupun CCTV di pasang di lokap namun ia tidak menghalang daripada kejadian ‘keganasan’ yang dilakukan pihak polis terhadap tahanan daripada berlaku kerana perkara demikian boleh juga berlaku di luar pengawasan CCTV.

Sebelum ini, dalam kejadian terbaru, seorang jurutera, P Karuan menjadi individu ketiga yang maut dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu.

Kejadian itu berlaku di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang dilaporkan ‘meninggal dunia tiba-tiba’ pada jam 7 petang Sabtu lalu.

“Hanya dengan penubuhan IPCMC akan menyelesaikan masalah kejadian kematian tahanan dalam lokap kerana selepas ini pihak Polis tidak akan berani untuk melakukan sebarang tindakan di luar batas kuasa dan juga jenayah,” kata beliau.

Tambah beliau, faktor kesihatan merupakan isu yang dihadapi oleh tahanan bukan menjadi isu utama kerana yang perlu diberi perhatian ialah tahanan yang dipukul dan diperlakukan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Pihak Peguam Negara dan polis perlu professional dalam menjalankan tugas dan bertindak terhadap anggota polis yang terlibat kerana tiada tindakan tegas telah diambil,” kata Surendran.

Sehingga Mei 2013, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merekodkan tujuh kematian dalam tahanan polis.


Pengarang :