Selangorkini
NASIONAL

Chegu Bard : Pendakwaan Saya Berkait Dengan Politik Dalaman Umno-BN

badrul hisham chegubard ceramah yelow 01

PETALING JAYA 5 JUN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari berkenaan penganjuran Himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur MBPJ pada 25 Mei lalu.

Badrul Hisham atau dikenali CheguBard didakwa di bawah Akta Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum program tersebut berlangsung.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika didapati bersalah, boleh didenda tidak lebih RM10,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Badrul Hisham tidak diwakili peguambela.

Hakim, Yasmin Abdul Razak menetapkan 9 Julai depan untuk Timbalan Pendakwaraya menyerahkan dokumen kes dan pelantikan peguambela Badrul Hisham.

Badrul Hisham dibebaskan tanpa ikat jamin selepas Yasmin berpuashati bahawa beliau hadir ke mahkamah dengan rela. Beliau juga menghubungi pihak polis selepas pihak berkuasa itu gagal menyerahkan saman kepadanya.

Ketika di luar mahkamah, Badrul Hisham menyatakan kes pendakwaan ke atasnya ada kaitan dengan permainan politik dalaman Umno-BN melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pemilihan Umno akan berlaku tidak lama lagi. Zahid tidak sedar bahawa kamu masuk dalam perangkap (Datuk Seri) Najib Razak dan (Tun Dr) Mahathir Mohamad. Kamu diberi jawatan Menteri Dalam Negeri untuk dirosakkan imej kamu.

“Hari ini setiap hari usaha merosakkan imej Menteri Dalam Negeri itu berlaku. Jauh daripada itu rakyat menjadi mangsa permainan politik dalam Umno-BN,” katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir ingin mempersiapkan keluarga dan saudara maranya selesa di dalam Umno-BN manakala Najib menyusun strategi untuk kebaikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Pengarang :