Pelbagai

DYMM Sultan Selangor Mahu Kerajaan Negeri Perluaskan Agenda MES

MB Sultan Duit Ramadan Puchong02

SHAH ALAM 28 JUN : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Kerajaan Selangor meneruskan agenda menjaga kebajikan rakyat dengan memperluaskan skop program-program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Beta berharap usaha ini akan membantu meringankan beban rakyat dan mengurangkan perbezaan pendapatan di kalangan rakyat.

“Keprihatinan kerajaan (negeri) ini juga hendaklah merangkumi masyarakat orang asli serta Orang Kelainan Upaya (OKU) agar mereka boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua rakyat lain di Selangor,” ucap baginda.

Beliau bertitah demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13 pagi tadi.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda turut menekankan agar Kerajaan Selangor memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam di negeri ini.

“Bagi memajukan umat, bidang pendidikan dan ekonomi mesti menjadi keutamaan dan usaha ini tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat beta yang lain.

“Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan rakyat,” titah baginda lagi.

Sejak 2008 hingga Februari lalu, Kerajaan Negeri membelanjakan peruntukan sebanyak RM 856 juta untuk menjayakan 29 program kebajikan di bawah MES.

Antaranya ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Air Percuma Setiap Bulan, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Kesihatan Wanita, Program Tuisyen Rakyat dan tabung Anak Pekerja Ladang.

Dalam peruntukan belanjawan negeri pula, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperolehi peruntukan paling tinggi iaitu melebihi RM 130 juta setahun.

Sepanjang tempoh lima tahun lepas, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM 405 juta untuk membina masjid dan sekolah agama sementara lebih RM 46 juta diperuntukkan bagi usaha baik pulih masjid.

Selain itu Kerajaan Negeri juga menaikkan elaun guru-guru Sekolah KAFA daripada RM 400 kepada RM 1,300 sebulan sebagai satu pelaburan modal insan.


Pengarang :