DYMM Sultan Selangor Saran Kerajaan Negeri Kukuhkan Ekonomi Negeri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

DYMM Sultan Selangor Saran Kerajaan Negeri Kukuhkan Ekonomi Negeri

sultan barisan dewan negeri selangor 28 jun 01

SHAH ALAM 28 JUN : Kerajaan Negeri disarankan supaya memastikan ekonomi negeri berada dalam keadaan stabil dan menyumbang kepada peningkatkan kualiti hidup rakyat.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Kerajaan Negeri perlu menyusun strategi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih efisyen agar dapat membantu rakyat menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar.


Baginda bertitah, Selangor mengamalkan sistem ekonomi terbuka yang sentiasa terdedah kepada suasana pasaran dan pergolakan global dan ia secara tidak langsung mempengaruhi rakyat.

“Selangor sebagai sebuah negeri yang mengamalkan ekonomi terbuka iaitu ekonomi yang terdedah kepada suasana pasaran dan pergolakan global, sudah tentulah rakyat Beta akan turut merasa bahangnya.

“Beta amat memandang serius terhadap permasalahan rakyat Beta terutamanya dalam usaha mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kebajikan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Baginda turut memuji Kerajaan Negeri yang berjaya mengekalkan momentum sebagai negeri penyumbang utama ekonomi negara.

“Beta yakin bahawa kejayaan ini adalah manifestasi kepada kejayaan serta usaha gigih dan kerjasama erat antara Kerajaan dan rakyat,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing untuk masuk ke dalam negeri.

Pada 2012 lalu, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 11.73 bilion dengan sebanyak 252 projek berjaya dimajukan.

Bagi suku pertama 2013 pula, jumlah pelaburan Selangor mencecah sehingga RM 700 juta.

“Usaha perlu digiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelabur ke melabur di negeri Selangor.

“Usaha-usaha ini perlulah juga ditumpukan kepada industri berteknologi tinggi, industri yang mengamalkan teknologi hijau supaya alam dan persekitaran negeri Selangor terhindar daripada pencemaran,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah, sektor perkhidmatan diyakini akan terus memberi peranan besar kepada kemajuan ekonomi negeri.

Setakat ini, sumbangan sektor perkhidmatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor adalah sebanyak 56 peratus.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION