NASIONAL SELANGOR

Enakmen SELESA Agenda Reformasi Dewan Negeri Selangor

Speaker Hannah Yeoh

SHAH ALAM 21 JUN : Gandingan Speaker dan Timbalannya yang baru, Hannah Yeoh dan Nik Nazmi Nik Ahmad, optimis bahawa Enakmen Dewan Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA) akan berjaya direalisasikan pada penggal kali ini.

Hannah berkata, perlaksanaan Rang Undang-Undang tersebut merupakan antara agenda reformasi yang dijangka mampu membawa perubahan serta meningkatkan lagi mutu persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kita jangkakan apabila enakmen tersebut diluluskan, kita akan membekalkan lebih banyak fasiliti kepada sidang DNS.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mereka melakukan kajian-kajian dengan lebih baik sebelum sesuatu isu dibahaskan.

“Perkara ini semestinya akan menjadikan mutu perbahasan itu lebih berkualiti, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” jelas Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Beliau bercakap demikian dalam satu sidang media di Bangunan Annex, SUK di sini sejurus selesai Majlis Mengangkat Sumpah Adun pagi tadi.

Nik Nazmi yang turut hadir dalam sidang media pula menjelaskan enakmen SELESA penting untuk dilaksanakan agar satu pasukan pentadbiran yang bebas dan profesional di bawah arahan Speaker dapat diwujudkan.

Timb Speaker Nik Nazmi

Enakmen tersebut akan menjadikan kuasa kerajaan kepada tiga bahagian iaitu, kuasa eksekutif di bawah Menteri Besar; badan kehakiman di bawah kuasa Persekutuan dan undang-undang negeri;  kuasa perundangan/legislatif terletak penuh di bawah DNS.

“Apabila DNS bebas daripada pengaruh eksekutif kelak, pemantauan dan semakan pentadbiran dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa sebarang sekatan dan birokrasi yang melampau,” ujar Nik Nazmi.

Katanya lagi, Rang Undang-Undang ini bukan satu amalan baru kerana sebelum dimansuhkan pada 1992, di peringkat Parlimen juga mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen yang menguruskan perjalanan kerja-kerja harian dan pengurusan kewangan Dewan Rakyat tanpa campur tangan kuasa eksekutif.

Draf Enakmen SELESA yang mula digubal sejak tahun 2009 kini sedang dikaji secara terperinci oleh barisan Exco Kerajaan Negeri serta penasihat undang-undang Negeri Selangor.


Pengarang :