Selangorkini
NASIONAL

Garis Panduan Pembiayaan Politik Tak Jamin Politik Bebas Rasuah

bn putrajaya

SHAH ALAM 9 JUN : Cadangan mewujudkan garis panduan pembiayaan politik di bawah Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0) tidak akan menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban untuk membanteras rasuah.

Pemimpin Pakatan Rakyat berkata garis panduan bagi mengesan sumbangan wang kepada parti politik tidak akan bermakna sekiranya butiran mengenai sumber dan perbelanjaan wang parti politik tidak dapat didedahkan umum.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata cadangan itu akan dipersetujui dari pihak Pakatan sekiranya tujuannya mestilah telus dan rakyat mengetahui dari mana sumbangan politik itu timbul.

“Kita dari pihak Pakatan tiada bantahan terhadap syor itu dengan syarat ia tidak digunakan oleh pihak BN untuk menindas atau menyalahguna kuasa untuk manfaat diri sendiri.

“Tetapi saya tidak percaya bahawa pemimpin BN akan dedahkan kepada orang awam pembiayaan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Umno-BN untuk benar-benar melakukan secara terbuka.

“Jika garis panduan itu sesuatu yang boleh digunapakai maknanya pembiayaan politik perlu dijaga dan lebih terbuka.

?Supaya orang boleh tahu dari mana wang itu datang. Saya pasti BN tidak akan setuju kerana mereka dapat wang daripada kerajaan”, kata MP Padang Serai itu apabila dihubungi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata kerajaan persekutuan sudah mendapat persetujuan daripada Umno-BN bagi melaksanakan garis panduan bagi pembiayaan wang politik.

Menurut laporan Bernama, Kerajaan Persekutuan mahu mendapatkan persetujuan daripada parti-parti lain termasuk komponen Pakatan bagi melaksanakan garis panduan.

Cadangan tersebut mahu memperkenalkan peraturan bagi mengawal wang sumbangan kepada parti politik.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata cadangan itu sudah tentu memberikan lebih manfaat kepada Umno-BN.

“Sudah tentu memberikan lebih manfaat kepada Umno-BN kerana akan ada orang berkepentingan dalam projek-projek akan salurkan kepada mereka seperti mana yang berlaku di Sabah.

“Contohnya, kes yang menimbulkan pertikaian kononnya wang itu diperolehi oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Aman manakala kenyataan di Menteri Jabatan Perdana Menteri mengatakan masuk ke akaun Umno Sabah,” katanya ketika dihubungi.


Pengarang :