Selangorkini
SELANGOR

Hannah Angkat Sumpah Sebagai Speaker Wanita Pertama di Malaysia

Hannah Yeoh

SHAH ALAM, 21 JUN : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri wanita pertama di negara ini.

Bertempat di Dewan Negeri Selangor(DNS) pagi tadi beliau secara rasmi dilantik sebagai Speaker dan akan mengetuai persidangan DNS sesi ke-13 pada 28 Jun depan.

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, semua Speaker yang dilantik baik di Dewan Negara, Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah lelaki.

Hannah, 34, turut mencatat sejarah sebagai Speaker paling muda yang pernah dilantik untuk mempengerusikan sidang DNS.

Beliau akan dibantu oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Negeri Selangor hari ini.

Hannah dan Nik Nazmi kedua-duanya adalah graduan undang-undang yang dipilih sebagai wakil rakyat setelah masing-masing memenangi kerusi DUN semasa Pilihan Raya Umum pada 2008.

Sementara itu, Hannah ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim yang melantiknya sebagai Speaker dan berjanji akan mengendalikan persidangan DNS dengan baik.

Katanya, DNS juga tampil berbeza apabila memiliki 14 Adun wanita daripada kedua-dua komponen Pakatan Rakyat (PR) dan BN.

“Saya percaya gabungan ini akan membentuk suatu persidangan dewan yang lebih menarik di mana semua anggota diharapkan lebih rajin membuat kerja dan berbahas,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya mempertahankan Selangor apabila mendapat lebih dua pertiga majoriti dengan memenangi 44 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

 


Pengarang :