Selangorkini
SELANGOR

Keberkesanan Kontraktor Pembersihan Swasta PBT Dikaji

teng chang kim mpsj

SUBANG JAYA 24 JUN : Kerajaan Negeri akan mengkaji keberkesanan kontraktor pembersihan swasta yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bagi mempastikan kecekapan dalam melaksanakan kerja diberi perhatian serius.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, khidmat nasihat dan rundingan sedang dijalankan untuk meningkatkan kecekapan PBT di Selangor dalam menguruskan kerja pembersihan di negeri ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengurangkan kontraktor swasta jika kualiti yang diberikan masih gagal mencapai tahap memuaskan.

“Usaha ini akan kita kaji, kita sekarang dalam peringkat untuk mendapatkan khidmat nasihat bagaimana kita nak meningkatkan kecekapan dan persembahan PBT di Selangor dengan mengurangkan bilangan kontraktor dan menggaji lebih ramai pekerja PBT itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Sehingga kini, PBT di Selangor melantik hampir 90 peratus kontraktor swasta bagi membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan seperti memungut sampah dan memotong rumput.

Teng berkata, beliau dimaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai pekerja seramai 3,000 orang dan mampu memberi perkhidmatan yang memuaskan.

Ini berbeza dengan PBT di Selangor yang mempunyai pekerja lebih sedikit berbanding penduduknya yang lebih ramai.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai jumlah pekerja seramai 1,300 orang, sementara itu di MPSJ 1,400 orang, belum sampai separuh pun bilangan pekerja yang digaji oleh MPPP.

“Usaha ini di Pulau Pinang nampak berkesan, tapi kita tak pasti sama ada keadaan itu sama di Selangor, sebab itu kita memerlukan kajian, tapi sudah tentu sekiranya apabila kita memutuskan untuk mengurangkan kontraktor dan menambah pekerja dalaman, sudah tentu kontraktor yang tak beri persembahan yang baik akan dihentikan kontraknya,” jelasnya lagi.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan aspek kualiti perkhidmatan berbanding penjimatan kos jika ia ingin dilaksanakan kelak.

“Penjimatan kos juga merupakan satu aspek, tapi aspek utama adalah kerana PBT bertujuan memberikan perkhidmatan, bukan mencari keuntungan, jika dapat untung, akan dikembalikan kepada pembayar cukai,” katanya lagi.


Pengarang :