Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Sokong JAIS Tutup Sementara Sekolah Agama

Sekolah Jerebu

SHAH ALAM 26 JUN : Kerajaan Negeri menyokong penuh cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menutup sementara sekolah agama kerana jerebu bagi kawasan yang mengalami Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 300.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semua Sekolah Agama Negeri, sekolah yang menerima bantuan (KAFA Intergrasi) dan sekolah persendirian yang berdaftar di bawah JAIS secara automatik wajib ditutup untuk sementara apabila IPU melebihi 300.

Ujar Abdul Khalid, ia seperti yang diarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Bagi kawasan IPU antara 250 hingga 300, pihak pentadbiran sekolah yang berkenaan perlu memaklumkan kepada jabatan tentang penutupan sekolah.

“Sekolah di kawasan IPU di bawah 250 masih boleh dibuka dengan mengambil langkah seperti memakai topeng muka, menghadkan aktiviti luar kelas dan segera merujuk ke hospital jika pelajar atau guru mengalami gangguan kesihatan.

“Semua sekolah perlu mematuhi panduan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menutup sekolah atau memberi cuti kepada guru dan murid akibat jerebu,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.


Pengarang :