Pelbagai

Kerja Penggantian Injap Selesai, Bekalan Air Kembali Pulih

MB exco meeting 19 jun 01

SHAH ALAM 19 JUN : Gangguan bekalan air yang dijangka berlaku Khamis ini, melibatkan 70,000 pengguna di sekitar Lembah Klang berjaya diselesaikan lebih awal, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid kerja-kerja pengantian injap sluis (Sluice Valve) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) siap sepenuhnya pada jam empat petang semalam seterusnya kembali beroperasi secara normal pada hari yang sama dengan membekalkan 750 juta liter sehari.

Katanya, pihaknya juga dimaklumkan bekalan air kembali pulih sepenuhnya pada pagi ini kecuali di kawasan tinggi yang mengambil sedikit masa kerana masalah tekanan rendah.

“Splash mengemukakan permohonan untuk membuat kerja-kerja pengantian injap itu yang memerlukan kepada tugas henti separa loji selama lapan jam semalam (18 Jun).

“Kerja-kerja pengantian berjadual ini menyebabkan gangguan bekalan di Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekalkan air ke kawasan Petaling dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Bangunan SUK, di sini.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memaklumkan beberapa kawasan yang membabitkan 70,000 pengguna di Lembah Klang dan Hulu Selangor akan mengalami gangguan bekalan air pada Khamis (20 Jun) ini berikutan kerja-kerja mengganti injap di SSP1.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri mahu Syabas bertindak lebih pro aktif dan cekap serta dapat menyelesaikan kejadian paip bocor dengan segera di samping memantau rapi loji serta rumah pam bagi mengelakkan kerosakan.

” Kita sedia maklum dengan rungutan rakyat terhadap gangguan bekalan air yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini seterusnya menjejaskan kehidupan pengguna di Lembah Klang, jadi kita mahu Syabas segera bertindak,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan paras air di semua kolam takungan di negeri itu berasa dalam keadaan memuaskan walaupun cuaca panas berlaku ketika ini.

” Buat masa ini, bekalan air dapat ditangani dan belum meruncing. Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan menggunakan air dengan cermat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.


Pengarang :