Selangorkini
NASIONAL

Kes KPN Khalid, Menteri Zahid Hamidi Jejas Kredibiliti Kementerian, Polis

keganasan-polis

SHAH ALAM 29 JUN : Kes mahkamah yang melibatkan dakwaan salahguna kuasa Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri telah mengakibatkan kredibiliti kedua-dua institusi itu berada pada tahap yang sangat rendah.

“Kes-kes seperti ini jelas menunjukkan salah guna kuasa sewaktu dalam jawatan am dan tindakan sewajarnya perlu diambil tidak kira siapapun yang terlibat,? kata peguam dan MP Padang Serai N Surendran.

Dengan deretan kes kematian dalam tahanan, terbaru Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula memutuskan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungajawab atas kematian A. Kugan ketika di dalam tahanan polis.

Kugan didapati mati akibat didera secara fizikal semasa soal siasat polis empat tahun lalu.

Dalam keputusannya Hakim, Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan Ketua Polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan sewaktu soal siasat dijalankan.

Tidak cukup dengan itu, Mahkamah Rayuan Khamis lalu menolak permohonan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan kes saman terhadapnya daripada dibicarakan di mahkamah.

Saman tersebut difailkan seorang ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah terhadap Zahid Hamidi yang didakwa menyerangnya di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor, pada 16 Januari 2006.

“Jika perlu siasatan dan perbicaraan, pihak berkenaan juga harus jalankan tanggungjawab sekalipun yang perlu disiasat ialah seorang Menteri,” tegas Surendran.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan sebarang keyakinan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kedua-dua individu yang memegang jawatan tertinggi itu.

Ujarnya, berdasarkan rekod-rekod lepas, pihak polis dan kementerian tidak pernah dibiarkan bebas menjalankan tugas sepertimana digariskan perlembagaan. Sebaliknya mereka hanya bertindak mengikut arahan politik.

“Apapun, seperti yang kita katakan sebelum ini, kita minta Ketua Polis Negara meletakkan jawatan kerana gagal memastikan keselamatan tahanan sehingga menyebabkan kematian.

“Kita juga desak agar siasatan sewajarnya dijalankan ke atas Zahid (Hamidi) lebih-lebih lagi terdapat keterangan dan dokumen sokongan jelas dalam kes ini termasuk laporan kesihatan plaintif dan sebagainya,” tambah Naib Presiden PKR ini.


Pengarang :