Selangorkini
SELANGOR

Khalid Samad : Kekalkan Harga Parkir Shah Alam Pada 40 sen

mbsa

SHAH ALAM 5 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diseru untuk mengekalkan kadar bayaran letak kereta pada 40 sen sejam kerana harga itu dapat memberikan keuntungan kepada pihak berkuasa tempatan disamping memberikan perkhidmatan dengan kos terendah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, alasan MBSA untuk menaikkan kadar itu pada 60 sen kerana ia diperuntukkan di dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sejak 1998, tidak semestinya digunapakai.

“Ini pemikiran konservatif. Kita dari kerajaan Pakatan Rakyat mengharapkan pemikiran lebih kreatif.

“Sepatutnya kita berbangga kerana dapat mengekalkan kadar parkir yang rendah untuk dijadikan contoh dan diikuti bandaraya-bandaraya lain.

“Tak perlu kita naikkan semata-mata bandaraya lain sudah naikkan kadar parkir itu. Kita nak cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Shah Alam dengan kos yang terendah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Khalid berkata, MBSA difahamkan tidak mengalami kerugian sebaliknya mendapat kuntungan yang baik dengan kadar sediada.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran kerajaan PR, kebebasan diberikan kepada PBT di dalam urus tadbir berbeza dengan zaman Umno-BN.

“Ahli Parlimen dan ADUN terkecuali dan tidak masuk campur dalam perkara ini. Kita ingin melihat bagaimana pegawai-pegawai kerajaan boleh menghayati dan menjiwai semangat kerajaan baru,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (MCMS), Zulkifli Nani mendakwa kenaikan kadar letak kereta itu dipercayai memberi keuntungan kepada pihak syarikat yang mendapat konsesi parkir daripada MBSA.

“Banyak cara lain bagi MBSA mendapatkan atau menaikkan hasil pendapatan dan kita berharap MBSA mengkaji perjanjian dibuat itu kerana kita yakin ianya berat sebelah,” dakwa bekas Ahli Majlis MBSA itu.


Pengarang :