Selangorkini
SELANGOR

Khalid Samad Lawat Tapak Hospital Shah Alam Minggu Depan

khalid samad

SHAH ALAM 20 JUN: Tanda tanya tarikh lawatan bagi melihat perkembangan pembinaan Hospital Shah Alam akhirnya terjawab apabila Khalid Samad memaklumkan beliau akan melakukan lawatan pada 28 Jun depan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu lawatan pada jam tiga petang itu nanti akan disertai Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusoff.

Pada mulanya jelas Khalid, beliau menerima surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang mengatakan lawatan tapak berkenaan boleh dilakukan pada hari ini tetapi tidak dinyatakan pada waktunya.

“Saya dapat surat daripada JKR mengatakan lawatan tapak adalah pada 20 Jun, tapi dalam surat tidak menyatakan waktu dan diberitahu waktunya apabila Menteri Kerja Raya tiba,

“Kerana dia (JKR) tak mahu saya melawat tapak tanpa kehadiran menteri,” katanya kepada TVSelangor.

Bagaimanapun semalam beliau dihubungi menteri yang menetapkan tarikh dan waktu lawatan ke tapak hospital tersebut.

Sebelum ini, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor terpaksa menunggu surat daripada JKR selama empat bulan berhubung permohonannya melawat tapak serta laporan pembinaan hospital di kawasannya.

Kelewatan pembinaan hospital yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu didakwa susulan pertukaran tender kepada kontraktor pembinaan.

Pada Disember tahun lalu, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dilaporkan berkata projek berkenaan akan siap pada Oktober 2013.

Namun demikian, Khalid berkata, projek itu berkemungkinan akan tertangguh sehingga pertengahan tahun 2014.

“Sekarang ini saya difahamkan pertengahan tahun hadapan, dan ada kemungkinan hujung tahun depan, dan ini sangat mendukacitakan,” katanya lagi.


Pengarang :