Kit Siang : Gerak Sedia Awal Kuasai Sabah Dan Malaysia Pada PRU-14 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

Kit Siang : Gerak Sedia Awal Kuasai Sabah Dan Malaysia Pada PRU-14

kit siang parlimen 01

SHAH ALAM 9 JUN : Pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat (PR) diingatkan segera memulakan gerak kerja untuk mencapai matlamat menguasai Sabah dan seterusnya Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, PR akan menghadapi cabaran lebih sengit pada PRU-14 kerana mempunyai dua objektif iaitu memenangi Kerajaan Pusat dan menguasai Kerajaan Sabah.


Menurutnya, ini berbeza dengan matlamat PR pada PRU-13 lalu adalah untuk memenangi Kerajaan Pusat kerana hanya mensasarkan sepertiga daripada 26 kerusi Parlimen Sabah.

“Atas sebab ini, saya ingin mengingatkan para pemimpin, ahli dan penyokong DAP serta PR bahawa kita tidak mempunyai masa untuk berehat kerana kita harus segera memulakan kerja untuk mencapai matlamat yang gagal pada PRU-13,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pada PRU-13 lalu, PR hanya mensasarkan 33 kerusi daripada tiga buah negeri ‘deposit tetap’ Umno-BN iaitu Sabah, Sarawak dan Johor namun gagal.

“PR hanya memperolehi 14 kerusi sahaja (Sabah 3, Sarawak 6, Johor 5) iaitu hanya 16.9 peratus dariapda keseluruhan 83 kerusi parlimen di ketiga-tiga negeri berkenaan dan bukannya 33.3 peratus seperti yang disasarkan,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kehadiran PR semakin jelas dalam DUN Sabah setelah hampir 20 tahun kerana berjaya memenangi 11 kerusi DUN (DAP 4, PKR 7) pada PRU-13 lalu.

Selain daripada empat kerusi DUN yang dimiliki, DAP Sabah akan segera memberikan tumpuan terhadap 13 kawasan lain seperti Elopura, Karamunting, Tanjong Papat, Tanjong Aru, Karanaan, Paginatan, Tanjong Kapor, Melalap, Kemabong, Liaiwan, Sook, Tambunan dan Merotai.

Justeru, Kit Siang berkata, Ahli Parlimen dan Adun DAP di dalam dan luar Sabah digalakkan untuk mengambil salah satu daripada 13 kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat.

Katanya, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selaku Penyelaras Jawatan Kuasa Kerja Pusat (CEC) bagi Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa DAP Sabah akan merangka perincian bagi program ‘kawasan angkat’ kepada wakil rakyat DAP.

Ini akan membolehkan lebih daripada seorang wakil rakyat DAP untuk dilantik sebagai wakil rakyat ‘angkat’ bagi setiap satu daripada 13 kawasan terbabit.

“Sebagai langkah mula, saya akan mengambil Karanan sebagai DUN angkat,” ujarnya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION