Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Klinik Kesihatan Kapar Daif, Manivanan Tuntut Penjelasan KKM

Klinik Kapar 02

KLANG 18 JUN : Karenah kakitangan kurang sopan dan keadaan klinik yang didakwa tidak mementingkan aspek keselamatan dan kesihatan, adalah antara masalah yang dihadapi penduduk jika mahu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Kapar.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, beliau mendapat maklum-balas kurang menyenangkan ini daripada penduduk tempatan berkenaan perkhidmatan klinik yang berusia lebih 30 tahun itu.

Menurutnya seorang penduduk Kapar, Mohd Akhir Othman yang mengalami ‘lumpuh sementara’ pada 9 Jun lalu untuk mendapat rawatan, malangnya kakitangan yang bertugas didakwa bersikap kurang sopan.

“Ada khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh saksi iaitu Ketua Kampung Kapar, Jamlus Hasan yang mendakwa kakitangan klinik berkenaan mengeluarkan kata-kata seperti, ‘jangan ganggu kami, awak pergi tempat lain, apa pasal pagi-pagi sudah kacau,” ujarnya.

Selain itu, Manivanan mendapati klinik berkenaan mengambil sikap sambil lewa mengenai aspek keselamatan dan kesihatan apabila tidak menutup sepenuhnya kawasan yang sedang dibaikpulih sehingga menyebabkan habuk memenuhi ruang menunggu pesakit.

“Ini bukan tapak pembinaan, ini adalah klinik kesihatan, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.

Justeru, beliau akan menghantar surat kepada klinik berkenaan supaya masalah berkenaan di atasi secepat mungkin.

Klinik Kapar 01

Manivanan mencadangkan supaya sebarang penambahbaikan boleh dilakukan pada hari Sabtu dan Ahad kerana klinik berkenaan ditutup.

Dalam pada itu, sepucuk surat juga akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meminta penjelasan berkenaan infrastruktur klinik yang didakwa tidak mampu lagi berfungsi dan menyediakan perkhidmatan dengan baik.

Manivanan juga membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjanji akan membina hospital di Kapar sekiranya berjaya menawan Selangor dalam pilihan raya umum lalu.

“Pada saya ini tidak adil, dia dah kalah, dia tak nak tubuhkan hospital.

“70,000 orang telah undi saya, manakala 50,000 orang undi BN, saya juga menuntut untuk 50,000 orang yang mengharapkan hospital, Najib tak boleh cakap ‘kalau menang’, dia masih ada orang yang undi BN,” ujarnya lagi.


Pengarang :