Selangorkini
Pelbagai

Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Wanita Hamil Layak Jadi Guru Sandaran

20130627_093838

PUTRAJAYA 27 JUN : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dua tahun lalu yang memutuskan wanita mengandung juga berhak mendapat tawaran sebagai guru sandaran.

Keputusan itu juga bererti Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia jelas melakukan diskriminasi gender terhadap Noorfadilla Ahmad Saikin yang pada ketika pelantikan dibuat sedang hamil tiga bulan.

“Saya sangat gembira hari ini kerana keputusan kekal, ini membuktikan apa yang saya perjuangkan selama ini adalah benar dan sudah terbukti dua kali di mahkamah.

20130627_094249“Saya juga berterima kasih pada Kerajaan Negeri Selangor khususnya YB Rodziah(Ismail), YB Zuraidah (Kamaruddin) juga barisan peguam yang banyak membantu dalam kes ini sejak empat tahun lalu.

“Saya harap lebih ramai wanita di luar sana yang mengalami nasib seperti saya untuk tampil ke hadapan dan tuntut hak mereka supaya diskriminasi seperti ini tidak berulang,” tegas beliau yang kini bakal melahirkan cahayamata ke empat.

Beliau hadir di mahkamah ditemani suaminya, Mohd Izwan Zakaria dan anak-anaknya serta Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail dan peguam Edmund Bon.

Rodziah ketika diminta mengulas juga berharap Kerajaan Pusat mengambil pelajaran daripada keputusan hari ini dan melakukan anjakan dalam usaha mewujudkan persekitaran pekerjaan yang benar-benar berlatarbelakangkan keserataan gender.

“Kerajaan Pusat haruslah buktikan bahawa mereka melaksanakan apa yang tertulis dalam Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada diskriminasi gender.

“Saya juga harap mereka terima keputusan mahkamah kali ini dan tidak lagi membuang masa membuat rayuan dalam kes-kes seperti ini, yang dengan jelas adalah bertentangan sama sekali dengan apa yang mereka putuskan dalam perlembagaan,” ujar Rodziah yang juga Adun Batu Tiga.

Pada Mei 2010, Noorfadilla menerusi peguamnya memfailkan saman pemula selepas pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditarik balik apabila beliau mengaku hamil.

20130627_093856Beliau pada ketika itu menamakan tiga Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Berdasarkan afidavit, Noorfadilla menghadiri temuduga jawatan tersebut pada 12 Januari 2009 sehingga berjaya mendapat tawaran menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau kemudian diminta hadir untuk mendapatkan memo penempatan sekolah dan ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan gaji RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, memo penempatan itu ditarik serta merta pada hari yang sama dengan alasan wanita mengandung tidak boleh dilantik menjadi guru sandaran.

Kes ini kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Hakim Zaleha Yusof pada Julai 2011 memutuskan bahawa Noorfadilla sebenarnya berhak mendapat jawatan tersebut sepertimana dinyatakan dalam perlembagaan.


Pengarang :